Tak patut PM buat macam ni

Tak patut PM buat macam ni

Mengapa pak dan puan Menteri tidak dibenarkan bercuti setelah lelah bekerja sepanjang tahun?

Patut ke Perdana Menteri arah semua Menterinya batalkan rancangan bercuti ke luar negara? Bagi Menteri yang sedang berada di luar negara, Ismail Sabri Yaakob mahu mereka cepat pulang ke tanah air.

Tetapi bukankah sekarang musim orang bercuti akhir tahun? Jadi mengapa pak dan puan Menteri tidak dibenarkan bercuti setelah lelah bekerja sepanjang tahun?

Kerana negara masih dilanda banjir. Oleh itu arahan Perdana Menteri wajar dan tepat sekali. Saya sokong 100%.

Pun begitu saya beranggapan Perdana Menteri tidak patut dan tidak perlu keluarkan arahan berkenaan. Kerana Menteri bukan budak-budak yang perlu diajar dan diarah apa yang mesti dilakukan terutama ketika bencana terjadi. Mereka sepatutnya tahu “to do the right thing” dengan sendirinya. Tanpa arahan bos mereka.

Rakyat sedang susah dan derita. Tidak perlulah PM kena nasihat janganlah bercuti, baliklah ke tanah air, datanglah kerja. Di mana hati nurani atau “conscience” Menteri? Takkan tidak rasa bersalah atau “guilty conscience”? Ketika rakyat menderita mereka “happy-happy” bercuti. Tak kiralah cuti luar atau dalam negara.

Jika ada “conscience”, ada rasa prihatin, dan “sensitive” akan penderitaan rakyat, mereka dengan sendirinya tidak akan pergi cuti-cuti. Lantas saya ulangi, tak perlulah PM sendiri terpaksa keluarkan arahan seperti berikut:

“Kalau mereka (Menteri) yang belum bercuti dan sebagainya saya minta Menteri batalkan percutian masing-masing sehingga selesai masalah banjir ini.

“Bagi Menteri yang berada di luar negara saya minta mereka pulang segera ke tanah air untuk sama-sama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan.”

Mungkin ada Menteri yang keluar negara sebelum banjir melanda. Namun pada era serba canggih ini tentulah mereka tahu bencana berlaku di negara. Bukankah berita tular pantas? Lalu tidak tergerak ke hati untuk balik?

Difahamkan juga ada Menteri yang berangkat ke luar negara (untuk cuti atau sebab lain?) setelah banjir melanda. Maknanya, apabila berlaku banjir mereka ada dalam negara. Betul ada yang melawat kawasan banjir. Ada yang melancarkan program gerak kerja membantu mangsa banjir.

Namun selepas pelancaran, mereka teruskan hasrat ke luar negara (sekali lagi saya tanya untuk cuti atau sebab lain?). Hakikatnya tidak ada dalam negara walau apa pun alasannya. Mungkin ada yang menugaskan atau “delegate” pegawai dan orang mereka untuk teruskan usaha membantu. Mereka pula (Menteri) memantau dari jauh. Ala guna “remote control”.

Namun ini bukan “remote control” untuk tukar rancangan TV. Ini memerlukan pendekatan “hands-on”. Lagi pun masa mereka berlepas ke destinasi peranginan atau tempat lain, banjir masih melanda. Ribuan rakyat kesusahan dan susah hingga ke saat ini.

Kehadiran Menteri perlu untuk memimpin. Bukankah mereka digelar pemimpin? Oleh itu pimpinlah. Pimpin anak-anak buah dan rakyat. Kehadiran mereka juga akan menyuntik semangat kepada anak-anak buah untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Sedaplah hati mereka apabila bos bersama-sama kerja.

Ini tidak. Mereka kerja manakala bos bersantai-santai di luar negara. Kalau mereka patah semangat dan tidak bermotivasi tidak boleh dipersalahkan. Walaupun mereka tidak patut patah semangat. Mereka mesti bantu rakyat meskipun bos tidak berada di sisi.

Oleh kerana Menteri tidak boleh diharapkan untuk membatalkan percutian dan pulang ke tanah air dengan sendirinya, maka Perdana Menteri terpaksa keluarkan arahan secara terbuka melalui media sosial.

Saya tidak boleh baca minda tetapi percaya Ismail agak kecewa lantas mengarahkan Menterinya batalkan cuti dan pulang ke tanahair segera. Dengan keluarnya arahan itu, maka boleh dirumuskan sememangnya ada Menteri berada di luar negara. Jika tidak masakan Ismail keluarkan arahan.

Ironinya beberapa minggu lalu atau lebih tepat pada 9 Disember lalu sempena hari ke-100 pentadbiran beliau, Perdana Menteri mengumumkan prestasi keseluruhan 100 hari Ahli Jemaah Menterinya “berjaya” mencapai 90% daripada sasaran ditetapkan.

Ertinya bagi beliau, para Menterinya mencatat kecemerlangan. Dapat “A”. Namun mengambil kira banjir, bukan sahaja Menteri tetapi kerajaan keseluruhannya diberi markah “F” oleh sebahagian besar rakyat terutama mangsa banjir. Kita tahu apa yang berlaku dan tidak berlaku. Oleh itu tidak perlu saya hurai dan mengulangi apa yang semua sudah tahu.

Bercakap mengenai cuti Menteri, adakah Menteri selaku peneraju kementerian meluluskan cuti sendiri? Atau ada pihak yang meluluskan cuti mereka? Terutama mereka yang pergi cuti setelah dan semasa banjir melanda. Mungkin permohonan dibuat awal dan kelulusan sudah diberi terlebih dahulu.

Namun apabila berlaku bencana tidakkah boleh kelulusan itu dibatalkan terus? Ini kerana jelas Menteri tidak “terbuka” hati untuk membatalkan sendiri cuti tanpa arahan bos mereka yakni Perdana Menteri.

Sekarang dengan arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri tentulah Menteri akan akur. Yang berhasrat cuti pasti akan batalkan hasrat mereka. Yang di luar negara akan segera terbang pulang dan tumpuan utama atau pertama tentunya kawasan banjir dan penempatan mangsa.

Namun bagi saya mangsa banjir tidaklah terlalu “ghairah” dengan kehadiran Menteri. Sebab? Mereka pulang ke tanah air hanya setelah diarah Perdana Menteri bukan pulang dengan niat sendiri.

Dah jolok baru nak gerak. Mungkin mereka akan teringat lagu 1980-an nyanyian Shidee “Sayang semuanya sudah terlambat”. Mungkinkah begitu?

Penutup bicara, saya tampilkan penulisan seorang bekas editor media atas talian kenalan saya yang dihantar kepada saya melalui WhatsApp.

Ada 10 perenggan. Saya petik empat yang berbunyi:

“Masa bencana rakyat kuat bising melalui pelbagai media massa.

“Tapi rakyat masih akan undi orang yang sama masa pilihan raya nanti.

“Semua akan lupa bencana ini.

“Rakyat kuat mengadu dan mengeluh pasal ahli politik tapi bila ada peluang untuk tukar wakil mereka, peluang dibazirkan.”

Jika apa yang dikatakan beliau ini benar, maka tersenyum lebarlah politikus yang dimaksudkan termasuk para Menteri.

Namun jika “ramalan” beliau salah, Menteri akan menangis tidak berlagu. Atau akan teringat mereka lagu popular Shidee 1980-an yang saya sebut tadi – “Sayang semuanya sudah terlambat”.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.