Kuan Yew – apa nama depannya? Maksud saya “surname” atau nama keluarga. Misalnya mat saleh, in this case minah saleh, Mary Elizabeth Smith. Nama diberi ibu bapa kepada anak perempuan mereka ialah Mary Elizabeth. Smith nama keluarga. Kalau Mary ada adik atau abang yang diberi nama John Jeffrey, si brother akan membawa nama John Jeffrey Smith.
Orang Melayu tak ada atau tak guna pakai surname atau family name. Nama ayah mengiringi nama sendiri. Mohsin bin Abdullah. Nama saya Mohsin, nama bapa saya Abdullah. Ada Muhamad di depan Mohsin. Namun Muhamad Mohsin tetap nama saya. Diikuti bin Abdullah. Bin bererti ‘anak kepada’.
Kalau wanita Melayu sebagai contoh Mastura. Nama cantik diberi oleh ibu bapa. Ayah bernama Muhammad. Masyallah nama besar. Maka nama anak perempuan ini ialah Mastura binti Muhammad. Kalau ada “Siti “ di depan jadi Siti Mastura binti Muhammad. Binti ialah ‘anak perempuan kepada’.
Orang Cina bagaimana? Mereka ada nama keluarga oleh itu berbalik kepada pertanyaan saya tadi: apa surname Kuan Yew? Adakah “Lim”? Kata Douglas Lim, yang terkenal sebagai pelawak, pelakon, dan penyampai TV, “saya tak tahu lah kalau anda sedar tetapi si Lim Kuan Yew ni ada sesetengah orang panggil dia Lee… Lee Kuan Yew.”
Akan tetapi kata beliau tidak ramailah yang panggil dia Lee Kuan Yew, “sekadar dalam 200 negara”. Saya yang tak pandai kira-kira pun yakin besar jumlah itu. Bukan million bahkan billion. Yang tua, yang muda, yang budak, yang pandai, yang tak pandai semua panggil si Kuan Yew tu Lee Kuan Yew. Kalau orang tak pandai pun tahu macam mana nak describe orang yang tak tau?
Namun tidak mengapa kerana “nama Cina ni is quite confusing,” kata Douglas. Douglas Lim atau Douglas Lee? Betullah memang nama Cina bikin konfius. Beliau sendiri yang kata. Untuk tidak memeningkan kepala, saya panggil beliau Douglas sahaja, walaupun first name basis ialah untuk orang yang kita kenal rapat. Saya kenal Douglas tetapi Douglas tak kenal saya. Apa pun untuk mudahkan cerita saya panggil juga beliau Douglas.
“Kadang-kadang Lee kita panggil Lim, kadang-kadang Lim kita panggil Lim, tak mengapa,” kata Douglas.
Bercakap pula pasal Chin Peng. Info yang saya dapati daripada buku sejarah (bukan sumber kecil anak ye) nama sebenar atau nama asal ialah Ong Boon Hwa. Oleh itu macam mana pula ada sepupu sepapat dengan orang yang memakai surname Lim?
Menurut Douglas, si Chin Peng ni memang famous tetapi dia ada geng. Seorang ahli geng Chin, kata Douglas “kuat exercise”. Nama dia Chin Up. Seorang lagi perempuan yang suka barang kemas. Nama dia Chin Chin. Ada juga seorang yang popular, easy going, dan disukai ramai. Kata Douglas, orang itu bernama Chin Cai.
Douglas juga menceritakan mengenai seorang lagi anggota geng Chin. Seorang yang perangai cukup buruk. Lalu dibenci semua orang. Saya tidak akan ulang nama yang didedahkan Douglas. Cukup untuk memberitahu ada orang letak nama Chee didepan nama si perangai buruk tadi. Ertinya selain Chin, surname Chee juga digunakan.
Kata Douglas, si Chin atau Chee ada seorang kawan bernama Oh. Si Oh ialah Cina yang tak makan babi. Menurut cerita Douglas, si Oh pada suatu hari semasa berjalan-jalan termasuk food court Cina. “Tak tau macam mana dia termasuk”. Dia jumpa satu gerai dan dia tak nampak lambang dan gambar babi yang besar. Oh tak sedar nama kedai itu Pumbaa (sang babi Disney). Si Oh juga tak nampak menu kedai itu tulis ‘nasi kandar babi’. Dia ingat ‘nasi kandar caviar’. Dia makan dan mati. “Very tragic story“. Di akhir cerita Douglas beritahu nama penuh Oh “ohmygodhowdumbisthis”.
Itu kisah nama orang Cina yang seperti kata Douglas confusing. Macam mana pula nama orang India? Kata kawan saya (pastinya seorang India, baru lah penjelasan authentic) orang dari bahagian utara negara India ada surname. Yang berasal dari selatan tidak ada surname. Contoh Gopal anak lelaki Muthusamy.
Namun kata kawan saya, ada juga masyarakat India berasal selatan yang mempunyai nama “puak” atau “clan” dijadikan seakan surname. Umpamanya Menon, Pillay, Rao. Memang confusing, kata kawan saya, “even Indians are sometimes uncertain“. Kalau macam itu elok dibiarkan begitu. Usah pandai-pandai masuk campur. Bimbang terjadi apa yang terjadi dengan nama Cina. Ada keliru dan tersalah guna nama. Lee jadi Lim dan tak pasal muncul Chin.
Lagi elok jika Ahad ini kita hadir rumah terbuka kawan India masing-masing untuk chill bersama mereka. Kepada penganut Hindu diucapkan Selamat Deepavali. Kepada kawan Cina sama ada Lim, Lee, Ong, Teoh, Chong, join in the festivities.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.