Entah berapa ribu surat cinta sudah melewati pengurus Pejabat Pos Bukit Rotan sejak 1926, yang sehingga hari ini masih beroperasi dalam teratak comel di simpang empat.
Teratak yang memuatkan Pejabat Pos Bukit Rotan menyerlah dalam warna putih dengan ciri-ciri tradisional dalam saiz yang comel. Luaran binaan ini mengekalkan bentuk dan struktur asal sejak 1920-an.
Perkhidmatan pos di Bukit Rotan beroperasi di bangunan ini sejak 1926, mengambil tempat sebuah balai polis. Pagar besi lusuh dibuka setiap pagi menandakan bermulanya layanan langsung oleh pengurusnya sendiri.
Pejabat Pos Bukit Rotan yang menjangkau hampir seabad usia menerima kunjungan lebih kurang 50 pelanggan setiap hari.
Berbeza dengan pejabat pos lain, Pos Malaysia di Bukit Rotan diurus secara 'solo'. Pengurus cawangannya, kini Khairul Azman Nyamin, menanti surat anda enam hari seminggu.
Dari segi luaran, segalanya tentang Pejabat Pos Bukit Rotan memencar sejarah. Apa yang menanti anda apabila melangkah masuk adalah perkhidmatan moden seiring kemajuan perkhidmatan pos tanahair.
Bagi sesetengah orang, kenangan bermain ketika kecil di sekitar Pejabat Pos Bukit Rotan mendorong mereka untuk terus berkunjung. Warga emas dalam gambar ini sanggup bermotosikal lebih 30km walaupun ada cawangan Pos Malaysia dalam perumahannya.
Pejabat pos ini terletak di pekan kecil Bukit Rotan yang dikelilingi ladang sawit, antara pekan Ijok dan pekan Kuala Selangor.
Rata-rata pelanggan Pejabat Pos Bukit Rotan mahu binaan dan ciri-cirinya dikekalkan dan dipelihara.