
KUALA LUMPUR: Saman cuai difailkan oleh seorang bapa bagi pihak anak lelakinya, yang dipotong anggota badannya di sebuah hospital kerajaan empat tahun lepas, akan dibicarakan pada November selepas usaha menyelesaikan kes itu gagal.
Peguam mewakili J Krishnasamy, Harwinder Kaur berkata, kerajaan enggan menyelesaikan saman itu di luar mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo, yang mengambil alih kes itu daripada Hakim Ahmad Bache, menetapkan tarikh perbicaraan pada 6 hingga 8 Nov, dan 13 hingga 16 Nov.
“Kerajaan, melalui peguam kanan persekutuan, menulis kepada kami mengatakan bahawa isu liabiliti dan kuantum ganti rugi harus melalui litigasi,” kata Harwinder kepada FMT selepas pengurusan kes di hadapan Su hari ini.
Pada pengurusan kes tahun lepas, Ahmad menggesa pihak-pihak terkilan agar mencari penyelesaian bagi mengelak melalui perbicaraan.
Berikutan pendirian yang diambil oleh kerajaan, pengantaraan kes itu, yang dijadualkan pada 30 Mei, telah dibatalkan.
Harwinder berkata, Su telah memberi plaintif dan defendan masa sehingga 30 Sept untuk memfailkan laporan pakar tambahan bagi pertimbangan mahkamah.
Semua arahan praperbicaraan lain telah dipatuhi oleh kedua-dua pihak, katanya.
Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 19 Jun.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada Disember 2020, Krishnasamy menyenaraikan beberapa pemotongan anggota badan yang dilakukan ke atas anaknya.
Vimal Raj, 19, kehilangan lengan di bawah bahagian siku, serta kakinya di bawah paras lutut kanan selain tumit dan jari kaki kiri.
Kementerian Kesihatan (KKM), Hospital Ampang, tiga doktor, dan kerajaan telah dinamakan sebagai defendan.
Krishnasamy mendakwa ini disebabkan oleh kecuaian doktor dan pelanggaran tugas. Beliau meminta ganti rugi khas, teruk, teladan dan am.
Krishnasamy berkata, Vimal dilahirkan normal tanpa sebarang penyakit kritikal atau masalah genetik, dan hanya mengalami tindak balas alergi di kemaluannya sebelum dimasukkan ke hospital.
Dia hanya didiagnosis menghidap “balanitis”, iaitu keadaan boleh dirawat yang lazim berlaku padai lelaki yang tidak dikhatan.
Krishnasamy berkata, pembedahan ke atas Vimal dilakukan antara 15 Mac dan 26 Nov 2019, dan mengakibatkan anaknya itu menjadi kurang upaya.
Defendan mendakwa keadaan Vimal adalah disebabkan kecuaian ibu bapanya.
Mereka menyenaraikan beberapa contoh dakwaan kecuaian tersebut, termasuk kegagalan menyediakan sejarah perubatan Vimal dengan tepat, kegagalan memastikan kesihatannya terjaga, serta kegagalan memastikan remaja itu mengambil antibiotik dan ubat antivirus yang diberikan oleh hospital.