Bantuan RM100 untuk semua pelajar IPT

PUTRAJAYA: Bantuan sebanyak RM100 akan diberikan kepada setiap penuntut warganegara Malaysia di institut pengajian tinggi (IPT), kata Kementerian Kewangan.

Kementerian berkata berdasarkan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan beban kewangan pelajar di peringkat IPT, kerajaan bersetuju untuk meluluskan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) bagi tahun ini.

Bantuan akan disalurkan pada hujung bulan Mac 2019 menggunakan mekanisme sedia ada, iaitu kad debit Bank Rakyat, yang merupakan penambahbaikan daripada sistem baucar buku yang terdahulu.

“Bantuan ini dijangka memanfaatkan 1.2 juta pelajar berdasarkan pangkalan data yang lama dan akan melibatkan peruntukan RM120 juta,” katanya dalam kenyataan.

Perincian pelaksanaan BPPT 2019 dan kriteria kelayakan penerima akan diumumkan Kementerian Pendidikan kelak.

“Penyaluran BPPT ini dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan pada 20 Februari 2019 untuk memberi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 untuk golongan bujang, berikutan saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi lebih perhatian kepada usaha-usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup.

“Bayaran BSH untuk golongan bujang ini akan memanfaatkan lebih daripada 3 juta individu dan melibatkan peruntukan RM300 juta,” katanya.