SKMM: 4 lagi ditahan sebar berita palsu koronavirus

SKMM menahan 4 individu yang disyaki memuat naik dan berkongsi kandungan palsu 2019-nCov di laman Facebook dan Twitter.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama polis menahan 4 lagi individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung wabak koronavirus novel 2019 (2019-nCov).

SKMM berkata, keempat-empat serbuan berkenaan dijalankan secara berasingan oleh polis dan suruhanjaya berkenaan di mana 2 tangkapan di Melaka dan masing-masing 1 di Kedah dan Pahang.

“Dalam operasi yang dijalankan di antara jam 11 pagi hingga 5 petang hari ini, polis dan SKMM menahan suspek-suspek terlibat untuk merakam keterangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut SKMM, seorang tutor berusia 49 tahun di Alor Setar, Kedah ditahan pada jam 12 tengah hari tadi kerana disyaki memuat naik kandungan palsu 2019-nCov di laman Facebook, pada 25 Jan 2020.

“Dua pembantu farmasi yang berumur 25 dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, Melaka sekitar jam 4 petang bagi membantu siasatan berhubung kandungan palsu wabak 2019-nCov, yang dimuat naik di laman Facebook, pada 26 Januari 2020,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam berumur 24 tahun pula ditahan pada jam 4.15 petang di Kuantan, Pahang kerana disyaki berkongsi kandungan palsu wabak 2019-nCov di Twitter, pada 27 Januari 2020.

“Sebanyak 4 unit telefon pintar, 5 kad sim dan 2 kad memori dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu berkaitan wabak 2019-nCov di media sosial dirampas daripada keempat-empat suspek dalam serbuan itu,” katanya.

SKMM berkata, semua suspek disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua- duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis membuka 5 kertas siasatan berkaitan penyebaran khabar angin dan berita palsu di media sosial berhubung wabak koronavirus yang meragut lebih 130 nyawa sehingga kini.

Pagi tadi, SKMM dengan kerjasama polis memberitahu polis menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan koronavirus.

SKMM berkata, suspek berumur 34 tahun itu ditahan di rumahnya di Bangi, Selangor pada 4 petang semalam bagi membantu siasatan terhadap 1 kandungan yang dimuat naik di Facebook pada 26 Jan lalu.