Jatuh tersungkur cabaran media sosial terbaru

Belum popular di Malaysia, tetapi nampaknya trend cabaran media sosial terkini ialah dengan memapar imej statik “bintang jatuh” bakal membuat pusingan tidak lama lagi.

Bermula di Rusia, cabaran #FallingStars ini memerlukan netizen membuat adegan statik seolah jatuh mati tersungkur.

Menariknya cabaran ini dilihat sangat popular dalam kalangan mereka yang berkemampuan di mana seluruh adegan tersebut dibikin rapi dan sempurna rata-rata jatuh dari pesawat, jet peribadi, kapal layar dan kenderaan mewah yang lain.

Kebanyakan posting ini ditemui di Instagram dan nama rakan-rakan yang dicabar di’tag’ seperti mana cabaran sebelum ini.

Selain Rusia, cabaran ini sudahpun mula menular di negara Eropah termasuk Slovenia dan Ukraine.

Selebriti dan personaliti berprofil juga dikatakan turut terlibat dalam cabaran ini termasuk model Amerika, Arizona Muse dan peserta Miss Ukraine.

Walaupun belum dipastikan bagaimana cabaran ini bermula, “falling star” ini ternyata sedang membuat pusingan dan tak mustahil ia akan sampai ke Malaysia tidak lama lagi.

Asalkan tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain, tidak melampaui batas dan menjengkelkan masih boleh diterima. Apa kata anda?