375 kes Covid-19, 5 kematian

PETALING JAYA: Sebanyak 375 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 5 kematian manakala kes aktif 3,703 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 371 melibatkan penularan dalam negara dan 4 kes import.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 14,368 kes Covid-19 dengan 10,519 daripadanya disahkan sembuh.

Lima kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 146 orang.

Jumlah pesakit yang kini dirawat di hospital mencecah 3,703 orang di seluruh negara dan sembuh sebanyak 18 kes.

Sementara itu, 60 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 20 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 371 kes penularan dalam negara, 18 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu 301 kes,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Beliau berkata, hari ini Sabah terus mencatatkan kes tertinggi dengan 271 kes, diikuti Selangor (36) dan Kedah (16) kes.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (10), Wilayah Persekutuan Labuan (10), Sarawak (6), Johor (5), Perak (5), Terengganu (5), Negeri Sembilan (2), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2), Melaka (1) dan Pulau Pinang (1),” katanya.

Katanya, 5 kematian melibatkan pesakit berumur 53 hingga 82 tahun.