561 kes jangkitan, 448 di Sabah

PETALING JAYA: Sebanyak 561 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan Sabah melaporkan angka tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 553 kes penularan dalam negara dan 8 kes import.

Daripada kes penularan tempatan itu, 494 kes melibatkan orang tempatan.

“11 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept sebanyak 353 kes,” katanya pada sidang media hari ini.

Sabah terus melaporkan kes tertinggi hari ini dengan 488 kes, diikuti Selangor 26 kes, dan Kedah 16 kes.

Bagi negeri lain, Kuala Lumpur 16 kes; Labuan 5; Johor, Melaka, dan Terengganu masing-masing 3 kes, sementara Perak dan Pulau Pinang 1 kes.

Ketika ini, seramai 4,587 orang sedang dirawat di hospital. Sebanyak 90 daripadanya dirawat di unit rawatan rapi, dengan 29 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hari ini, 133 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Turut dilaporkan 2 kematian di Sabah menjadikan jumlah kematian keseluruhan mencecah 157 orang.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 15,657 kes dengan 10,913 daripadanya sembuh.