Anwar tinggalkan istana selepas sejam menghadap Agong

Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negara pada 11.30 pagi.

KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negara selepas sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan sokongan ahli Parlimen kepadanya untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau tiba pada 10.25 pagi tadi dan meninggalkan istana pada 11.30 pagi dengan menaiki kereta Jaguar berwarna hitam sambil diiringi laungan “Reformasi” oleh penyokong yang berkumpul berdekatan pagar Istana Negara.

Presiden PKR itu hanya tersenyum dan melambai ke arah penyokongnya, namun enggan memberhentikan keretanya atau mengulas pertemuannya dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada 23 Sept lalu, Anwar mendakwa mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Beliau enggan mendedahkan jumlah sokongan yang diperolehi, sebaliknya hanya memaklumkan jumlah itu akan didedahkan setelah beliau mengadap Agong.

Beberapa parti dalam kerajaan menafikan memberi sokongan kepada Anwar, tetapi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai ahli Parlimen parti itu menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu.

Minggu lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya kepada Sultan Abdullah.