Rata-rata rakyat kurang setuju dengan tindakan yang dikenakan terhadap Zulkifli namun terpaksa menerima hakikat, dia perlu menjalani proses undang-undang secara adil sebelum dibebaskan daripada tuduhan Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Simpati dengan nasib yang menimpa bapa kepada tiga orang anak itu (anak kedua menghidap autisme), sebuah tabung akan dilancarkan hari ini (Khamis) bagi membantu isteri dan anak-anak Zulkifli meneruskan hidup.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul yang bertanggungjawab menubuhkan tabung itu berkata, sejak ditahan reman 14 hari lalu, keluarganya tidak dapat berniaga di warung yang berdekatan dengan rumah mereka.
Katanya, tabung itu juga untuk membantu keluarga Zulkifli berulang alik dari Kerteh ke Penjara Marang yang jauhnya lebih 100 kilometer di mana Zulkifli ditahan sehingga tarikh sebutan kes pada 24 Januari 2016.
Nik Aziz berkata, sebuah akaun Facebook ‘Selamatkan Zulkifli’ diwujudkan sebagai tanda rakyat Malaysia menyokong dan bersimpati dengan nasib yang menimpa bapa berusia 50 tahun itu.
Sejak dibuka pada 29 Disember, akaun tersebut telah menerima hampir 30,000 ‘likes’
Tambahnya, daripada akaun tersebut, seramai 10 peguam telah menyatakan kesanggupan memberi nasihat perundangan mengenai kes itu walaupun keluarga Zulkifli telah melantik peguam daripada kenalan keluarga mereka.
Zukifli ditahan kerana menikam mati seorang perompak yang juga penagih dadah yang cuba merompak rumahnya awal Disember lalu.
Dia bertindak demikian kerana mahu mempertahankan diri dan keluarganya. Dia kemudian menyerah diri di balai polis berdekatan.
Zulkifli kemudian ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kemudian ditukar kepada Seksyen 304 membunuh tanpa niat dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000.
27 Disember lalu, Zulkifli dibebaskan selepas membayar ikat jamin itu tetapi ditahan semula untuk didakwa di bawah Seksyen 302 dengan tambahan Seksyen 326 serta tidak dibenarkan ikat jamin.
Mengikut Seksyen 302, jika sabit kesalahan Zulkifli boleh digantung sampai mati manakala Seksyen 326 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
https://www.facebook.com/video.php?v=1232361816780369
