Pakatan Harapan meterai perjanjian 9 Januari ini

Pakatan Harapan meterai perjanjian 9 Januari ini

Keputusan dibuat atas keinsafan PKR, DAP dan AMANAH untuk mewujudkan pakatan lebih bersatu dan utuh.

wam-azizah,ph

KUALA LUMPUR :
Pakatan Harapan akan memeterai sebuah perjanjian bagi mengikat tiga parti iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pada 9 Januari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata rundingan memuktamadkan Perjanjian Pakatan Harapan itu bermula sejak pertengahan Oktober 2015, sejurus selepas gabungan tiga parti berkenaan.

Menurut Wan Azizah, keputusan itu dibuat atas keinsafan ketiga-tiga parti itu bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan utuh.

“Ada keperluan untuk menguatkan lagi kerjasama politik ini dengan membuktikan keikhlasan dan niat politik yang mengikat ketiga-tiga parti.

“Niat politik yang ikhlas ini menjadi asas kepada kepatuhan ketiga-tiga parti kepada prinsip yang dipersetujui dalam dasar dan keputusan bersama,” katanya pada sidang media Presiden Pakatan Harapan di Wisma Amanah pada Selasa.

Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang berkata, perjanjian itu akan memberi fokus kepada perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mapan.

Katanya, penjanjian yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam itu mengandungi tujuh fasal utama iaitu prinsip dan kaedah membuat keputusan, membina kesatuan politik antara parti dan menyelesaikan pertikaian antara parti.

Empat fasal lain adalah membangunkan dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar bersama, menguruskan perjalanan pilihan raya termasuk kerusi yang ditandatangani, menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang serta menangani keadaan apabila perjanjian yang dibuat dilanggari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.