
KUALA LUMPUR: Kewaspadaan polis memastikan IS tidak berjaya mewujudkan kem latihan militan di negara ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun tidak menafikan kewujudan kem latihan militan di rantau Asia Tenggara, khususnya di selatan Filipina yang memberi sokongan terbuka kepada organisasi itu.
“Kita sahkan, tidak ada kem latihan untuk kanak-kanak atau dewasa di Malaysia untuk IS. Tetapi di Asean memang ada.
“Memang mereka akan cuba mengadakan kem latihan di mana sahaja. Tetapi tanggungjawab kita untuk mengawasi dan mengelak sebelum perkara itu berlaku,” tegas Khalid.
Baru-baru ini, pakar pengganas Rohan Gunaratna dalam makalahnya kepada Straits Times berkata IS berhasrat untuk mewujudkan cawangan di Filipina dan Indonesia, pada tahun ini.
Pendapat itu menyusuli laporan empat kumpulan militan di selatan Filipina telah bergabung tenaga dan mengisytiharkan kesetiaan kepada ‘kekhalifahan’ IS.
Menurut Rohan, meskipun tentera Indonesia berjaya memintas rancangan untuk mengisytiharkan negara satelit di timur Indonesia, gerakan militan itu bertekad mahu mengisytiharkan sekurang-kurangnya satu wilayah IS di rantau Asia pada 2016.
Beliau berpendapat sekiranya IS berjaya mewujudkan kawasan selamat di Kepulauan Sulu, ia akan menjadi tempat pelancaran operasi pengganas ke serata Filipina, dan Malaysia.