Penasihat Food For Mahasiswa (FFM), Wan Nur Ashiqin Mohamad berkata, UKM tidak pernah mengabaikan pelajarnya yang tidak makan ekoran tidak mempunyai wang.
Dia yang kesal dengan dakwaan itu menjelaskan, UKM ada mengeluarkan zakat kepada 4,600 pelajar asnaf berjumlah RM3.6 juta setahun bagi menampung keperluan hidup mereka sepanjang pengajian.
“Kita telah lama menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan kepada pelajar melalui zakat yang dikendalikan oleh Pusat Unit Khidmat Kebajikan Siswa (PUKKS).
“Mungkin ada pelajar yang benar-benar susah tetapi disebabkan malu dan lebih senang mengambil sikap berdiam diri, maka timbullah isu tidak makan.
“Padahal, kita sentiasa mengalu-alukan setiap pelajar supaya datang berjumpa unit PUKKS ini sekiranya mereka ada masalah,” katanya seperti dilapor sebuah laman portal.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Nur Ashiqin tidak menafikan ada dalam kalangan mahasiswa yang menghantar wang pinjaman pelajaran ke kampung untuk membantu ibu bapa mereka.
Katanya, perkara itu berlaku disebabkan niat mahu membantu keluarga yang mungkin dalam kesusahan.
Dalam pada itu, Wan Nur Ashiqin membidas sesetengah pihak yang mengatakan golongan mahsiswa suka melepak dan menghabiskan duit belanja di luar.
“Tidak semua yang berperangai begitu. Mungkin ada seorang dua yang selalu melakukannya tetapi tidak bagi pelajar daripada keluarga susah,” ujarnya.
