Kajian MVM: 74 peratus siswa tiada duit makan

Kajian MVM: 74 peratus siswa tiada duit makan

Sebanyak 44 peratus atau 11,120 mahasiswa hanya makan nasi bujang kerana masalah kewangan.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM), Muhammad Jantan

PETALING JAYA :
Seramai 18,675 atau 74 peratus daripada 25,632 siswa yang ditemu ramah mendakwa mereka tidak berduit untuk makan.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM), Muhammad Jantan berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bermula 24 hingga 28 Disember lalu menerusi borang kaji selidik yang dihantar melalui emel ke beberapa universiti terpilih.

“Apa yang mengejutkan, kami mendapat respons yang begitu pantas,” katanya lapor Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, enam universiti iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memberi respon yang tertinggi.

Beliau berkata, pihaknya turut terkejut apabila mendapati 44 peratus atau 11,120 mahasiswa hanya makan nasi bujang (nasi, telur dan kicap) kerana masalah kewangan.

“Sebanyak 41 peratus atau 10,439 mahasiswa hanya makan mi segera dan 57 peratus atau 14,458 mahasiswa hanya memperuntukkan RM5 setiap hari untuk makan,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut berharap hasil dapatan itu tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan peribadi mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.