Dr Mahathir dalam blognya, chedet.cc hari ini, mengulas laporan The Malaysian Insider yang memetik sumber berhubung dakwaan khabar angin mula tersebar di Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang mana seorang pegawai polis kanan dan timbalan pendakwa raya daripada Pejabat Peguam Negara berkemungkinan mengambil tempat Abu Kassim yang dikatakan tidak sihat.
“Abu Kassim sendiri pernah berkata beliau berharap untuk bersara pada usia 60 tahun, umur persaraan. Jelas beliau tidak rasa tahap kesihatan memerlukannya untuk bersara awal,” katanya menerusi blog beliau.
Dr Mahathir dalam blognya turut membangkitkan alasan persaraan Abdul Gani atas sebab penyakit buah pinggang dan persaraan berkenaan dibuat pada 5 Okt tahun lalu, iaitu tarikh sehari sebelum Abdul Gani berumur 60 tahun.
“Kini Abdul Gani dilaporkan telah mula menjadi peguam. Jelas beliau masih boleh bekerja,” katanya.
“Penyingkiran Abu Kassim hanya akan meyakinkan rakyat tentang segala yang disebut tentang kerajaan, yang ia hanya wujud untuk menghalang undang-undang dikenakan kepada kepemimpinan negara ini,” katanya.
Awal bulan ini, The Malaysian Insider melaporkan khabar angin yang tersebar mengenai perkara itu, selepas Abu Kassim menghantar kertas siasatan berhubung anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
