Biar rakyat menilai saya – Mukhriz

Biar rakyat menilai saya – Mukhriz

Mukhriz menegaskan akan memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat

mukhriiz_kedah_rakyat_600

PETALING JAYA:
Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat jelata untuk menilai prestasi dan keberkesanan kerjanya dalam pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah.

Katanya, kedudukannya sebagai Menteri Besar adalah atas kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, setelah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya,” katanya, dalam satu kenyataan malam ini.

Kenyataan itu menyusuli tunjuk perasaan aman di Bangunan Tunku, Alor Setar, malam ini (ketika berita ini ditulis) oleh ratusan rakyat Kedah yang menyokong kepimpinan Mukhriz. FMT difahamkan polis turut dikerah ke lokasi tunjuk perasaan itu.

Tunjuk perasaan itu sebagai respon kepada tindakan sekumpulan kepimpinan UMNO Kedah menggesa Najib supaya menggugurkan Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Menteri Besar, petang tadi. Kumpulan itu diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah membuat kenyataan itu selepas perjumpaan tertutup pemimpin UMNO negeri di Grand Alora Hotel, Alor Setar, petang tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.