Dalam rakaman berbahasa Malaysia itu, unit militan IS Malaysia-Indonesia yang menggelarkan diri mereka Katibah Nusantara mengancam untuk membalas dendam berikutan penangkapan ahlinya, lapor The Star.
“Jika anda tangkap kami, kami akan terus meningkatkan bilangan anggota, tapi jika anda biarkan kami…kita akan lebih dekat dengan matlamat untuk membawa kembali kedaulatan khalifah.
“Mereka yang menamakan kami sebagai Khawarij (ingkar), Daesh (nama lain IS) dan juga sebagai agen Mossad sebenarnya Syiah dan sekutunya.
“Kami tidak akan tunduk kepada sistem demokrasi tadbir urus kerana kami hanya akan mengikut undang-undang Allah,” kata IS dalam rakaman itu.
Sementara itu, satu video berasingan menyeru ‘saudara’ Katibah dari Somalia iaitu Al-Shabaab untuk menyertai IS. Rakaman yang berdurasi sekitar satu minit itu juga disampaikan dalam Bahasa Malaysia.
Video itu mendedahkan identiti jurucakapnya, Abdul Halid Dari, sambil diperhatikan seorang lagi anggota militan, Mohd Nizam Arifin.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin menyifatkan kumpulan Katibah sebagai kurang ajar.
“Ia juga membuktikan bahawa IS, terutamanya golongan Katibah memandang negara kita sebagai sekular dan oleh itu menjadikan kerajaan dan rakyat sebagai sasaran.
“Tidak syak lagi ia sebagai langkah membalas dendam terhadap tindakan pasukan keselamatan kami kepada mereka,” katanya lagi kepada The Star.
Berikutan itu, bahagian anti pengganas akan lebih berhati-hati dengan amaran tersebut bagi mengelak sebarang serangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Merujuk kepada video yang ditujukan kepada Somalia pula, Ayob Khan berkata Abdul Halid mampu berbahasa Melayu dan beliau mengesyaki ada rakyat Malaysia menganggotai Al-Shabaab.
“Ini adalah satu perkembangan baru yang menunjukkan lebih ramai penglibatan rakyat Malaysia dalam kumpulan pengganas,” katanya.
