BNM tidak ambil kira keseluruhan pelaburan TH

BNM tidak ambil kira keseluruhan pelaburan TH

Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset Tabung Haji adalah lebih tinggi daripada nilai liabiliti.

Tan Sri Ismee Ismail

PETALING JAYA:
Amaran Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa nilai aset Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berada dalam keadaan negatif dibuat tanpa mengambil kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail berkata, surat yang dikeluarkan Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tidak mengambil kira portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah Tabung Haji.

“Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset TH adalah lebih tinggi daripada nilai liabiliti TH, di mana ia mengambil kira kesemua nilai saksama potfolio pelaburan TH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, BNM menyarankan supaya Lembaga Tabung Haji mengambil langkah proaktif memperkukuh amalan pengurusan risiko, susulan dana agensi yang menguruskan jemaah haji itu berada pada paras rizab yang negatif.

Mengulas lanjut, Ismee berkata, Tabung Haji memberi jaminan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka selamat.

“Prestasi Kewangan TH berada dalam keadaan baik disokong oleh aset-asetnya yang kukuh termasuk peratusan mudah tunai yang tinggi. Contohnya aset tunai sahaja pada 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM10.7 bilion.

“Pendeposit tidak perlu risau kerana simpanan mereka di TH dijamin oleh Kerajaan, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung Haji. TH juga tidak pernah lari dari tujuan asal penubuhannya dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam ke-5.

“Saya sarankan agar pendeposit lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu berita yang disebarkan melalui media sosial. Oleh yang demikian saya ingin menegaskan bahawa TH tidak menghadapi masalah kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.