Pimpinan baharu Kedah layak digelar ‘kertas tandas’

Pimpinan baharu Kedah layak digelar ‘kertas tandas’

Mahfuz Omar juga anggap pertukaran Mukhriz dilakukan secara tidak demokratik dan hanya permainan untuk menyelamatkan Najib Tun Razak.

Datuk-Mahfuz-Omar

KUALA LUMPUR:
Cubaan pemimpin UMNO Kedah yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar disifatkan sebagai suatu gerakan mafia.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan menjatuhkan Mukhriz itu hanyalah sebagai usaha untuk menyelamatkan UMNO dan bukannya mengatasi masalah rakyat.

“Saya sangat kesal dan kecewa tentang apa yang berlaku, kerana alasan yang diberikan adalah Mukhriz gagal mengukuhkan UMNO,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Whip PAS itu menyatakan, rakyat Kedah secara umumnya tidak mempunyai masalah dengan pentadbiran Mukhriz sebaliknya tidak selesa dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

“Orang banyak masalah dengan Najib. Afdhalnya adalah kita menukar Perdana Menteri dan bukannya tukar Menteri Besar.

“Kelemahan Perdana Menteri lebih besar dari kelemahan Menteri Besar. Mengekalkan Mukhriz adalah lebih baik dalam keadaan sekarang,” tegasnya.

Selain itu, Mahfuz menyatakan jika Mahfuz berjaya disingkirkan, kerajaan yang bakal dipimpin kelak merupakan pimpinan dari ‘kertas tandas’.

“Tindakan menyingkirkan Menteri Besar itu tidak melalui proses demokratik. Jika berlaku perubahan nanti, saya akan anggap ia hanya boneka dan kerajaan kertas tandas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.