
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau masih tidak mengetahui apa-apa keputusan hasil daripada pertemuan itu.
“Tak tahu apa keputusan lagi, terima kasih media kerana tunggu,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, kebanyakan ADUN BN yang hadir enggan mengulas hasil pertemuan itu dan perbincangan yang diadakan.
Ada juga beberapa ADUN BN itu yang menggunakan pintu belakang Wisma Darul Aman untuk mengelak daripada media yang menunggu lebih dua jam di luar pagar bangunan berkenaan.
ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang disebut-sebut sebelum ini bakal menggantikan Mukhriz turut engan mengulas.
“Tidak mahu komen”,” katanya ringkas.
Sementara itu, petugas media tidak dibenarkan masuk ke Wisma Darul Aman dan hanya dibenar menunggu di luar pagar kompleks kerajaan negeri Kedah.
Sebelum itu, kenderaan yang membawa anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah tiba di Wisma Darul Aman pada 2.40 petang, diikuti seorang lagi anggota jemaah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah pada 2.55 petang.
Pengerusi jemaah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah tiba pada pukul 3 petang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengaku Jemaah Pemangku Sultan Kedah memberi reaksi positif kepada calon-calon bagi menggantikan Mukhriz.
Perjumpaan Jemaah Pemangku Sultan Kedah hari ini dipercayai untuk memastikan Mukhriz tidak lagi mendapat sokongan majoriti, sebelum keputusan menukar Menteri Besar boleh dilakukan.