“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk mendoakan bagi pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di Raudhah (di Masjid Nabawi) dan juga Mekah Al-Mukarramah.
“Mudah-mudahan kita meneruskan doa ini agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara Sungai Buloh dan akan…InsyaAllah…bersama-sama dengan kita untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya menerusi rakaman video dari Mekah.
Rakaman tersebut disiarkan ketika acara kempen ‘Bebas Anwar’ di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh semalam.
Menteri Besar Selangor itu memohon maaf kerana tidak dapat menyertai acara tersebut, yang diadakan sempena setahun pemenjaraan Anwar.
Beliau juga mendoakan agar keluarga Anwar sentiasa dilimpahi kesejahteraan serta kesabaran dalam mendepani ujian tersebut.
“InsyaAllah dengan kesabaran dan ketabahan ini, Allah akan menganugerahkan keluarga ini kejayaan bagi mengangkat martabat umat dan rakyat keseluruhannya.
Kira-kira 1,000 peserta termasuk pemimpin parti Pakatan Harapan menyertai perhimpunan itu. Namun tiada seorang pun pemimpin PAS yang hadir semalam.
