Beliau berkata, CPI yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) itu memang boleh dipercayai dan menjadi rujukan antarabangsa.
“Saya percaya kepada indeks oleh TI ini, ia digunakan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi FMT, di sini, baru-baru ini.
“Ia memang mencerminkan keadaan sebenar dalam negara. Memang indeks ini tentang persepsi, tetapi persepsi lahir daripada apa yang terjadi,” katanya sambil merujuk pepatah Melayu ‘masakan tiada angin pokok boleh bergoyang’.
Malaysia berada pada kedudukan ke-54 dalam CPI 2015, merosot empat kedudukan berbanding tahun sebelumnya.
Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Presiden TI-Malaysia, Datuk Akhbar Sattar dilapor berkata, campur tangan kerajaan dalam institusi penguatkuasaan menyumbang kepada kemerosotan tersebut.
Antaranya adalah penukaran Peguam Negara dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, serta pemindahan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika diminta mengulas perkara itu, menteri yang bertanggungjawab dalam soal ketelusan dan integriti bersetuju dengan Akhbar dan menyifatkannya sebagai satu hakikat.
“Institusi penguatkuasaan dalam negara memang perlu bebas dan kuat,” katanya lagi.
