PRESMA yang tidak bersetuju dengan KIMMA dalam perkara berkenaan, memberi jaminan bahawa harga makanan dan minuman di restoran India Muslim di negara ini tidak akan dinaikkan.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Noorul Hassan Saul Hameed, berkata kenyataan Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berhubung kenaikan harga makanan dan minuman kerana kenaikan kadar levi untuk pekerja asing adalah tidak tepat.
“Saya hendak nyatakan di sini kenyataan yang diberikan oleh Presiden KIMMA (Datuk Seri Syed Ibrahim Kader) tidak benar dan kita boleh nyatakan masyarakat India Muslim yang menyokong beliau itu hanya 10% sahaja.
“Kebanyakan peniaga boleh dikatakan tidak menyokong beliau dan pengaruh beliau sudah menurun sejak kebelakangan ini. Saya rasa beliau menggunakan cara ini untuk dapat pengaruh yang hilang,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama FMT, di sini, baru-baru ini.
Sebelum ini, Syed Ibrahim mendakwa pengusaha restoran India Muslim tiada pilihan kecuali menaikkan harga makanan dan minuman kerana kenaikan kadar levi untuk pekerja asing menambah kos yang ditanggung mereka.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, harga makanan dan minuman adalah mengikut kawalan dan sentiasa dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Saya beri jaminan terutamanya kepada pengguna yang sering berkunjung ke restoran kami bahawa tidak akan ada kenaikan apa-apa sekali pun dalam makanan dan minuman.
“Kami bekerjasama dan dipantau KPDNKK. Melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Persaingan 2010, kita tak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Kami juga tidak boleh berpakat dan menaikkan harga. Kami adalah satu jambatan antara rakyat dengan pengusaha dan antara pengusaha dengan kerajaan,” tegasnya.
