Ketua Eksekutif Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata beliau tidak menolak sepenuhnya penggunaan tenaga kerja asing, tetapi bukan sehingga mengabaikan 400,000 warga tempatan yang masih menganggur.
“Kalau kita tengok statistik pengangguran, golongan yang tidak bekerja berjumlah 400,000 atau tiga peratus. Tetapi jumlah pekerjaan yang diisi pekerja asing tentunya melebihi jumlah itu.
“Saya tak kata kita langsung tidak perlukan pekerja asing, cuma menyarankan supaya sektor atau bidang tertentu perlu memberi peluang kepada pekerja tempatan, terutama Bumiputera,” katanya dalam sidang media di Hotel Primiera, di sini tadi.
Memetik laporan Bernama 14 Jun 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata setakat 2015, terdapat 400,000 orang yang mencari pekerjaan pada setiap masa.
Di samping itu, beliau juga menjangkakan situasi tersebut akan menyebabkan lebih ramai warga tempatan, terutama Bumiputera akan menceburi bidang perniagaan.
“Pada pandangan saya, semua orang mempertimbangkan sama ada bekerja atau berniaga, cuma mungkin tiada pendedahan yang mencukupi tentang peluang yang ada. Oleh itu, kami juga berusaha untuk menguar-uarkan program yang ditawarkan oleh Peneraju supaya dapat mendidik rakyat,” katanya lagi.
Melalui Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menawarkan program pembiayaan pendidikan, kemahiran dan pensijilan professional kepada golongan Bumiputera yang layak.
