Merujuk sejarah panjang perseteruan antara PAS dan UMNO, beliau berkata sentimen permusuhan antara parti menjadi semakin marak apabila melibatkan faktor agama.
“(Presiden PAS) Abdul Hadi pernah kafirkan orang UMNO. Sehingga kini perasaan kebencian yang ditanam Hadi di kalangan akar umbi PAS terhadap Umno susah (dipulihkan), sebab ia berasaskan agama.
“Bagi saya tidak patut ada parti agama di Malaysia. Bagaimana apabila berkata-kata, anda mendakwa berkata-kata bagi pihak Tuhan, dan kata Tuhan sokong anda?” katanya dalam wawancara bersama FMT.
‘Amanat Haji Hadi’ yang timbul pada 7 April 1981 dan dikaitkan pada Presiden PAS itu sentiasa menjadi duri dalam daging PAS, khususnya Hadi sehingga kini.
Menerusi ‘amanat’ itu, Hadi ditulis sebagai berkata bahawa UMNO mengekalkan “undang-undang penjajah dan kafir”, dan mana-mana pihak “menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku'”
Mengulas lanjut, Zam menyifatkan Abdul Hadi kini seorang ‘pemimpin paling tidak Islamik’ kerana telah bekerjasama dengan pihak yang pernah dimusuhinya.
“Hanya kerana kepentingan politik, UMNO kini sudah jadi Islam pada dia. Sekarang yang paling tidak Islamik adalah Haji Hadi, sebab menyeleweng daripada perjuangan asal tanpa segan silu, hanya untuk survival politik,” katanya.
Beliau juga merasakan isu penyatuan PAS dan UMNO yang sering diperkatakan tidak semudah seperti yang dilihat secara luaran, kerana hanya segelintir pemimpin PAS yang mengimpikan perkara itu.
“Tambahan pula dalam keadaan sekarang, di mana kita harus keluar daripada sentimen Melayu dan keislaman yang melampau.
“Generasi muda juga sudah berbeza. Maka jika bercakap tentang penyatuan PAS-UMNO ini untuk kepentingan orang Melayu, saya fikir susah orang nak terima,” katanya.
