Fahmi pertikai pencarian maklumat keluarga siswa kritik Najib
Tindakan Cassandra tidak sepatutnya dianggap sebagai pengkhianat kerana dia hanya bersuara menentang ketidakadilan.
PETALING JAYA: Usaha pihak tertentu mencari maklumat keluarga siswa yang mengusulkan kepada universitinya supaya menurunkan portret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai tidak matang.
Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol mempertikaikan mengapa cadangan menurunkan portret seseorang itu perlu dibalas sebegitu rupa.
“Saya setuju dengan tindakan pelajar berkenaan kerana selagi tidak melanggar etika sebagai seorang pelajar, saya rasa tiada masalah.
“Tindakan terhadap keluarga pelajar berkenaan dilihat tidak patut dan tidak matang,” katanya kepada FMT.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas usaha seorang pengguna Facebook, Ab Jalil Backer, yang meminta orang-ramai memberi maklumat berkenaan keluarga Cassandra Chung Li Hooi.
Cassandra sebelum ini mengusulkan petisyen menggesa Persatuan Pelajar Malaysia melobi mengeluarkan potret Najib setinggi dua meter daripada salah sebuah dinding kampus King’s Meadow Universiti Nottingham, United Kingdom.
“Sesiapa yang tahu mengenai keluarga pelajar ini juga boleh beri maklumat kepada saya,” kata Ab Jalil Backer.
“Kita mahu melihat sesuci mana pula keluarganya yang mampu menghantar anak ke luar negara ini.”
Usul Cassandra itu dibuat sebagai membantah Najib yang didakwa enggan memberi penjelasan memuaskan berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi.
Jika usul itu, dengan disokong oleh petisyen tersebut, diluluskan, ia akan dibahaskan semasa AGP Persatuan Pelajar Malaysia pada 16 Mac.
Menurut Ab Jalil, tindakan Cassandra membuat petisyen sebegitu kepada universiti luar negara dan “membuat tuduhan-tuduhan yang beliau sendiri tidak pasti kebenarannya” adalah tindakan “pengkhianatan kepada negara”.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mengulas lanjut, Fahmi yang baru menyambung balik pengajiannya di UM setelah digantung pengajiannya berkata, tindakan Cassandra tidak sepatutnya dianggap sebagai pengkhianatan kerana dia hanya bersuara menentang ketidakadilan.