Geng baju merah ‘serang’ pejabat Mahathir

Geng baju merah ‘serang’ pejabat Mahathir

Himpunan diketuai Jamal Yunos itu bagi membantah Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan pembangkang menerusi Deklarasi Rakyat untuk jatuhkan Najib Razak.

jamal_rempit

PUTRAJAYA:
Kira-kira 400 peserta yang diketuai Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkumpul di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, bagi menyuarakan bantahan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kumpulan itu membawa sepanduk gambar anti Mahathir dan melaungkan kata-kata seperti “Insaf Mahathir” dan “Hidup Najib”.

Menurut Jamal, bantahan ini disertai oleh beberapa NGO dari Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Selangor dan Pahang.

Jamal berkata, bantahan itu dianjurkan kerana kecewa dengan tindakan Dr Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang menerusi Deklarasi Rakyat.

“Kebanyakan peserta bantahan ini adalah penyokong kuat Dr Mahathir.

“Tetapi sekarang Dr Mahathir bersama pihak pembangkang terutamanya DAP. Dr Mahathir ialah seorang pengkhianat,” katanya yang merujuk kepada Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh Mahathir bersama kumpulan penentang dalam UMNO dan pembangkang.

Jamal juga menegaskan, beliau akan terus memberi sokongan kepada kepimpinan Najib.

Kumpulan itu gagal menyerahkan memorandum bantahan kerana Dr Mahathir tidak berada di pejabat ketika himpunan itu.

Dr Mahathir mengetuai Deklarasi Rakyat yang turut mendapat sokongan kuat PKR, DAP, dan AMANAH serta masyarakat sivil yang terdiri daripada aktivis masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Citizen’s Declaration’ atau ‘Deklarasi Rakyat’ mengandungi beberapa tuntutan sebagai tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak supaya meletak jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.