Anwar tarik balik saman RM100 juta terhadap Nalla

Anwar tarik balik saman RM100 juta terhadap Nalla

Beliau berpuashati dengan keterangan Nallakaruppan yang mengaku kenyataannya pada 2008 telah disalah lapor dan tidak tepat.

anwar-Nallakaruppan

KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik saman RM100 juta terhadap bekas rakan baiknya, Senator Datuk Seri S Nallakaruppan selepas dua jam perbicaraan, hari ini.

Anwar memberitahu Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab beliau membuat keputusan itu berdasarkan keterangan Nallakaruppan dalam perbicaraan di sebelah pagi.

“Berdasarkan keterangan dia (Nallakaruppan) kepada mahkamah pagi ini yang menerangkan kenyataannya ketika Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008 telah disalah lapor dan tidak tepat.

“Bahkan dia juga menafikan menuduh Anwar sebagai pembelot kepada negara, maka saya berpuashati dan menarik balik saman terhadapnya,” katanya dengan membaca kenyataan di mahkamah terbuka.

Hakim setuju dan membenarkan saman itu digugurkan.

Pada perbicaraan sebelah pagi, Nallakaruppan memberitahu mahkamah, dia menolak untuk menandatangani afidavit yang disediakan oleh polis bagi mengesahkan Anwar menjadi ejen negara asing untuk menimbulkan kekacauan dalam negara.

Dalam perbicaraan itu, Anwar bertindak mewakili diri sendiri manakala Nallakaruppan diwakili peguam tersohor, Tan Sri Shafee Abdullah.

Anwar memfailkan saman pada 25 Ogos 2008 selepas Nallakarupan menuduh beliau menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian.

Tuduhan Nallakaruppan itu disiarkan menerusi akhbar Mingguan Malaysia artikel bertajuk, ‘Didakwa terima RM60 juta’ dan dalam akhbar Sinar Harian bertajuk ‘Anwar terima RM60 juta.’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.