“Beberapa akhbar berbahasa Cina juga bersatu dengan media BN.”
“Saya yakin rakyat tidak mudah diperdaya dan boleh membezakan kebenaran daripada kebatilan serta mereka yang berjuang untuk integriti dan melawan penyelewengan dengan yang tidak,” katanya.
Beliau menggesa penyokongnya supaya bersabar menghadapi serangan bertubi-tubi itu yang disiarkan sebagai berita utama setiap malam tetapi tidak menonjolkan skandal penyelewengan RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan.
Guan Eng, yang merupakan Setiausaha Agung DAP, dalam satu kenyataan berkata beliau serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan siasatan dan akan mendesak suruhanjaya supaya menyelesaikan siasatan dengan pantas supaya nama baiknya dan kerajaan pimpinannya dibersihkan.
“Saya telah menyatakan saya sedia bekerjasama dengan SPRM sepenuhnya dan mengharapkan siasatan yang adil, bebas dan profesional.
“Saya tidak perlu bercuti angkara dakwaan palsu itu, dan saya tidak punyai pengaruh atau kawalan keatas siasatan SPRM mahupun Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan,” katanya.
Hanya Perdana Menteri yang mempunyai kuasa keatas SPRM dan Peguam Negara, tegasnya. Malah, beliau menegaskan, sekiranya seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri perlu bercuti setiap kali laporan penyelewengan dibuat ke SPRM, termasuk yang dibuat secara semborono dan tidak berasas, maka beliau khuatir ia akan digunakan sebagai senjata politik.
“Nanti semua orang terpaksa bercuti,” katanya.
Beliau menyorot perhatian kepada kejadian Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat disiasat SPRM atas dakwaan penyelewengan palsu berhubung tajaan haji pada 2009, yang beliau kemudiannya batalkan.
“Tiada pula yang paksa Nik Aziz supaya bercuti. Beliau tidak punyai kawalan atau kuasa keatas SPRM dan dakwaan itu tidak berasas.”
Beliau mahu menggariskan bahawa PAS dan UMNO berganding bahu menuntut beliau bercuti sementara siasatan SPRM keatas pembelian banglo berusia 30 tahun itu dan penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis sedang berjalan.
“Tuntutan itu jelas sekali bermotifkan politik.”
“BN dan PAS tidak menuntut Perdana Menteri supaya bercuti, sedangkan Perdana Menteri didapati mempunyai USD700 juta atau RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi.”
Guan Eng berkata beliau sentiasa mengamalkan pentadbiran yang bersih menurut prinsip CAT atau cekap (competency), kebertanggungjawaban (accountability) dan telus (transparency).
“Salah satu daripada langkah integriti yang penting ialah mengamalkan tender terbuka, dan perlaksanaannya oleh kerajaan Pulau Pinang mendapat pujian daripada Transparency International.”
“Kerajaan Pulau Pinang berbangga dengan urustadbir yang bebas daripada penyelewengan.”
Penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis dibuat secara tender terbuka kepada awam dan diberikan kepada syarikat yang membayar harga tertinggi, jelas beliau.
“Bagaimana mungkin ada penyelewengan sekiranya syarikat yang memenangi tender berdasarkan merit dengan membayar harga tertinggi?”
Malah, katanya, pemilik tanah yang menjual banglo kepadanya bukan seorang pemegang saham atau pengarah di syarikat terbabit.
“Atas sebab ini laporan penyelewengan terhadap saya kepada SPRM oleh BN dan penyokong mereka adalah palsu, dan merupakan satu konspirasi untuk mencemar nama baik saya dan membunuh kerjaya politik saya.”
Guan Eng berkata beliau sedia membincangkan dakwaan penyelewengan tidak berasas ini secara lanjut dengan pihak yang bebas dan tidak berpihak, “supaya mereka mendapat gambaran sebenar konspirasi penipuan BN.”
