Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB – Arul Kanda

Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB – Arul Kanda

Arul Kanda menegaskan Jho Low tiada sebarang aktiviti dalam syarikat, tidak dibayar oleh syarikat dan tidak diberi tugas untuk syarikat.

Arul-Kanda_jho-low_1mdb_600

KUALA LUMPUR:
1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mengumumkan pembayaran hutangnya yang lain dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkata ketika ini, syarikat tersebut berada dalam fasa pembayaran hutang dan tidak akan membuat hutang baharu.

“Pada pagi ini, kami membuat pengumumam bahawa 1MDB telah menyelesaikan secara penuh satu hutang berjumlah RM700 juta,” katanya dalam rancangan temubual televisyen, ‘Business Plus’ di saluran Astro Awani, hari ini.

Sementara itu, Arul Kanda turut menafikan penglibatan Jho Low, individu yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB, dalam apa-apa aktiviti syarikat.

“Sebelum ia (1MDB) menjadi 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) telah ditubuhkan di mana pemegang sahamnya ialah Kerajaan Terengganu. Pada masa tersebut, Jho Low dilantik sebagai penasihat kepada TIA,” katanya.

Bagaimanapun, Arul berkata, Jho Low telah meletak jawatan pada Mei 2009, sebelum saham TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan dan nama TIA ditukar kepada 1MDB.

“Jadi Jho Low tiada sebarang aktiviti di dalam syarikat, beliau tidak dibayar oleh syarikat dan tidak diberikan apa-apa tugas untuk syarikat,” katanya.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.