Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata makalah itu, yang disiarkan di muka hadapan akhbar The Star pada 21 Mac, telah memetik perkataan-perkataan Guan Eng diluar konteks, seraya menyebabkan pemimpin besar DAP itu menjadi bahan cemuhan.
“Saya mahu membetulkan fakta yang telah menyebabkan ketua menteri menjadi lebih popular daripada perdana menteri. Ramai orang mendakwa Guan Eng tidak tahu nilai sebenar banglo yang dibelinya.
“Sebenarnya, pemberita itu bertanya pada Guan Eng samada beliau tahu rumah itu bernilai RM6.5 juta, dan Guan Eng jawab tidak. Beliau hanya menjawab tidak pada nila RM6.5 juta itu, bukan nilai banglo itu.
“Walaupun isi kandungan makalah itu betul, tajuknya mengelirukan dan jelas bermotif politik, dengan tujuan untuk memberi gambaran yang salah mengenai Guan Eng.
“Sepanjang minggu lepas terlalu banyak yang diperkatakan oleh para menteri yang memaparkan Guan Eng sebagai seorang yang cuba lari daripada kontroversi itu, walhal tidak. Saya menyalahkan The Star diatas salahfaham yang telah berlaku,” katanya dalam sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.
Guan Eng sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn, yang dijual kepada beliau dibawah nilai pasaran.
