Beri, jual dan guna darjah kebesaran tak diiktiraf satu penipuan

Beri, jual dan guna darjah kebesaran tak diiktiraf satu penipuan

Sultan Sharafuddin berkenaan agar Kerajaan Selangor membuat pindaan kepada Enamen Lambang-Lambang dan Nama-Nama.

sultan-selangor-darjah

SHAH ALAM:
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar Kerajaan Selangor membuat pindaan kepada Enamen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962.

Baginda bertitah, ini kerana kegiatan memberi, menjual dan memakai darjah kebesaran oleh pihak individu yang tidak diiktiraf baik daripada istana atau Kerajaan Selangor telah berleluasa.

“Perbuatan memberi, menjual dan menggunakan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf ini adalah satu penipuan yang salah dari segi undang-undang.

“Untuk mencegah perkara memberi, menjual dan menggunakan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf, beta berkenan kerajaan negeri membuat pindaan yang sewajarnya kepada Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah daripada Salah Guna) 1962 bagi menangani perbuatan dan pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan beta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-4 Dewan Negeri Selangor yang ke-14 tahun 2016 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, pihaknya telah dimaklumkan oleh Kerjaan Negeri bahawa pindaan yang dicadangkan itu adalah berkaitan dengan pencegahan penganugerahan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf dan penetapan kadar hukuman yang lebih berat bagi kesalahan di bawah enakmen berkenaan.

“Beta berhadap dengan pengenalan Rang Undang-Undang ini yang akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor pada sidang kali ini akan dapat membendung kegiatan yang tidak bermoral dan beretika ini sekali gus melindungi kedaulatan beta sebagai Sultan Selangor,” titah baginda.

Baru-baru ini, kegiatan memberi, menjual dan menggunakan darjah kebesaran daripada pihak-pihak yang tidak diiktiraf dan mengakui dirinya sebagai Sultan atau Raja menjadi polemik dalam kalangan rakyat negara ini.

Individu yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka, Raja Noor Jan Shah Tuah sebelum ini dikenali sering memberikan darjah kebesaran kepada beberapa individu termasuk aktivis, yang membolehkan mereka memakai gelaran ‘Datuk’.

Kegiatan tersebut juga berlaku di Perak, apabila seorang individu mendakwa dirinya sebagai ‘Maharaja Kinta’ dan menggunakan gelaran ‘Yang Mulia Dato’ Seri Paduka Raja’.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, sembilan Raja-Raja dan empat Yang Dipertua Negeri sahaja yang berhak memberi darjah kebesaran dan gelaran di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.