Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya di atas penyelewengan yang melibatkan berbilion-bilion Ringgit itu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Najib tidak boleh cuci tangan begitu saja kerana sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan melibatkan 1MDB.
“Najib tidak boleh mencuci tangan dengan meletakkan semua kesalahan ke atas Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan syarikat.
“Najib ialah orang yang terlibat secara langsung dalam penyelewengan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat ini menanggung beban hutang yang besar dan kerajaan terdedah kepada risiko hutang RM20 bilion. Jangan pula nanti ada tindakan bail out oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, jika Najib seorang yang bermaruah, beliau harus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Beliau mendakwa Najib bertanggungjawab sepenuhnya di atas penyelewengan 1MDB antaranya keputusan 1MDB meluluskan pemindahan sebanyak USD1 billion ke dalam akaun bank syarikat usahasama 1MDB Petrosaudi Ltd.
Namun, pihak pengurusan 1MDB hanya memindahkan sebanyak USD300 juta ke dalam akaun bank 1MDB Petrosaudi Ltd, manakala baki sebanyak USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited milik Taek Jho Low.
Katanya, sejumlah USD3 bilion yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan TRX tetapi telah dipindahkan kepada 1MDB sebanyak USD1 bilion, kepada 1MDB Energy Ltd sebanyak USD 28.85 juta, kepada Brazen Sky Ltd sebanyak USD 1.5 juta dan pelaburan di luar negara sebanyak USD1.58 billion.
Dan terbaharu, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi menafikan syarikat tersebut atau unitnya Aabar Investment PJS telah menerima USD3.5 bilion daripada 1MDB menerusi Aabar BVI sepertimana yang dilapor kepada PAC.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengingatkan menteri-menteri kabinet dan Najib tidak menganggap isu 1MDB ini telah selesai selepas laporan PAC itu dibentangkan.
“Rakyat tidak akan lupa puluhan bilion wang negara telah diseleweng. Orang yang mencuri ayam pun ditangkap dan didakwa. Masakan individu yang mencuri puluhan bilion wang negara terlepas begitu sahaja?, katanya.
