Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata sekiranya Mohd Ali mempunyai bukti sebaiknya beliau menyerahkan kepada mahkamah dan bukannya membuat kenyataan secara membuta tuli.
“Mohd Ali harus duduk diam-diam dan jangan masuk campur atas urusan yang beliau tidak tahu menahu.
“Kalau Mohd Ali tak ada fakta dan hanya mengetahui sesuatu berita melalui kenyataan dalam saluran media perdana saja, lebih baik dia duduk diam-diam. Jangan kalut dan tolong jangan masuk campur,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Mohd Ali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, pasukan penyiasat khas atau task force yang ditubuhkan bagi menyiasat skandal 1MDB dan Najib perlu meminta maaf kepada Perdana Menteri.
Ini kerana, kata Mohd Ali, Menteri Luar Arab Saudi dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memberi penjelasan sekaligus membersihkan nama Najib daripada isu wang derma RM2.6 bilion dan juga 1MDB.
Mohd Ali berkata, penubuhan pasukan khas itu telah memberi persepsi negatif kepada Perdana Menteri dan juga Malaysia memandangkan rakyat beranggapan Najib bersalah dalam dua isu berkenaan.
“Kalau Mohd Ali agak dia pandai lebih, nanti bila kes dibicarakan Insyaallah saya akan sepina beliau. Kalau Mohd Ali ada fakta suruh dia datang mahkamah untuk bela Najib Tun Razak kelak.
“Sejujurnya kalau Mohd Ali tidak sanggup masuk mahkamah lebih baik jangan campuri urusan yang dia sendiri tak faham,” kata Khairuddin lagi.
