Ahmad Razif yang terpalit dengan krisis antara Istana Terengganu tiba kira-kira jam 9.25 pagi kelihatan tenang dan mengukir senyum kepada pihak media.
Bagaimanapun, Razif ketika diajukan soalan oleh wartawan enggan mengulas sebarang komen kononnnya berlaku pelantikan Menteri Besar baharu, susulan pihak Istana negeri kurang senang dengan pentadbiran beliau.
“Saya tidak mahu beri sebarang komen,” katanya ringkas kepada media.
Mesyuarat dijalankan dengan kehadiran kesemua sembilan barisan EXCO iaitu Datuk Tengku Putera Awang, Datuk Mohd Jidin Shafee, Datuk Rozi Mamat, Rosli Othman, Nawi Mohamad, Latif Awang, Roslee Daud,Datuk Muhammad Pahemi Yusof, Ghazali Daud.
Sebelum ini, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dilaporkan sah telah melucutkan kesemua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif.
Perlucutan kesemua darjah kebesaran berkenaan telah berkuatkuasa pada 22 April lalu seperti mana dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Ahmad Razif, 49, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu ke-14 di hadapan Sultan Mizan pada 12 Mei, 2014 menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Spekulasi mendakwa dua nama yang disebut-sebut bakal dicalon sekiranya Ahmad Razif berundur ialah ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee dan ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menghadap Sultan Terengganu dalam waktu terdekat ini bagi menyelesaikan krisis itu.
PAS Terengganu dilaporkan enggan mengadakan kerajaan perpaduan sebaliknya memilih pilihan raya negeri untuk memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
Satu-satunya ADUN PKR, Azan Ismail pula mencadangkan PAS dan UMNO membentuk campuran kerana ia jalan terbaik daripada mengadakan pilihan raya negeri.
