Rakyat Terengganu terima jika MB ditukar
Mereka akur dengan apa jua keputusan yang akan dibuat nanti malah menghormatinya demi kelancaran pentadbiran Terengganu
KUALA TERENGGANU: Rata-rata penduduk yang ditemui FMT menerima dengan hati terbuka sekiranya Menteri Besar mereka ditukar, malah menjunjung kasih Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Muhamad Abdullah, 52, berkata kuasa melantik Menteri Besar adalah hak mutlak baginda maka sebagai rakyat perlulah terima dengan hati terbuka.
Beliau berharap penggantian itu boleh merungkai kemelut yang diuar-uarkan ketika ini.
“Macam mana Menteri Besar nak buat kerja kalau hubungan dengan Istana ada masalah?” soalnya, merujuk kepada desas-desus pergeseran yang menyusuli perlucutan darjah kebesaran Ahmad Razif Abdul Rahman.
Muhammad antara warga negeri Penyu yang pernah merasai hidup dibawah pentadbiran beberapa Menteri Besar Terengganu.
“Kami sebagai rakyat sudah letih kerana sudah berapa kali Menteri Besar bertukar, seolah-oleh pemimpin itu tak reti jaga hati Sultan.
“Cuba tengok Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad…bekas Menteri Besar selama 20 tahun. Tidak ada masalah!” katanya.
Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad mentadbir Terengganu dari 1974 hingga 1999. Pemerintahan enam penggal itu ditamatkan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10, sekaligus membuka laluan kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Tuan Rosli Wahab, 48, sudah muak dengan sikap pemimpin UMNO yang sering kali bermasalah walaupun sudah acapkali bertukar Menteri Besar katanya.
“Saya sendiri sebagai ahli UMNO ,saya sudah jemu tengok pelbagai masalah yang berlaku dalam UMNO, tak berlaku di negeri akan berlaku di Pusat, dulu Kedah tukar Menteri Besar, sekarang katanya Terengganu, lepas ini mana pula? Johor?
“Kalau macam ini sikap pemimpin BN, lebih baik bubar sahaja sahaja UMNO tubuh parti baharu atau beri sahaja pada pembangkang sebab pada tahun 1999 PAS memerintah tak pernah ada isu,” katanya.
Berbeza pula dengan Abdul Wahab Zakaria, 63, beliau berharap Ahmad Razif diberi peluang mentadbir Terengganu sehingga PRU akan datang supaya segala perancangan yang telah dibuat penggal ini diselesaikan.
“Ahmad Razif baru dua tahun memerintah, kalau tukar Menteri Besar baharu mesti ada perancangan baharu dan perancangan lama terbantut.
“Malah bila ada krisis rakyat juga tidak tenang dan kerajaan tidak fokus kepada rakyat,” katanya.
Jusoh Mohamad, 56, pula lebih berminat untuk mengetahui punca sebenar perlucutan darjah kebesaran Ahmad Razif.
“Kami nak tahu apa sebenarnya punca berlakunya isu di Terengganu sebab pentadbiran nampak ‘OK’, tetapi Sultan tarik gelaran mesti ada benda tak kena.
“Tapi kalau langkah terbaik menukar Menteri Besar kami menerima,” katanya.
Sempat juga seorang warga Terengganu menyelitkan nama bekas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam tinjauan FMT.
“Saya sebagai individu setuju kalau nak ditukar Menteri Besar, malah jika nak dibandingkan Ahmad Razif dengan Mat Said, Mat Said lagi mesra rakyat,” kata Suhaizan Ibrahim, 47.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Dulu Mat Said semasa jadi MB dia buat setiap hari Rabu rakyat boleh jumpa di pejabat tetapi masa Ahmad Razif ini tidak ada,” katanya.