Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata pemecatan Husam yang juga ADUN Salor itu juga tidak akan menjejaskan kekuatan parti.
Katanya, kekuatan sebuah parti bukannya terletak pada individu tetapi ia bergantung kepada hala tuju sesebuah organisasi.
“Tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli (dalam PAS) perkara biasa. Setiap organisasi mesti bertindak selaras dengan kepentingan parti yang dianggotai.
“Jika seorang ahli diambil tindakan meskipun dia seorang pemimpin besar, organisasi akan terus melayarkan bahteranya kerana kekuatan bukannya terletak pada individu tetapi pada dasar hala tuju organisasi,” katanya kepada FMT.
Terdahulu hari ini, PAS memecat Husam berkuat kuasa 23 April lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Dr Sanusi Daeng Mariok selepas mempertimbangkan kes ini daripada semua aspek serta mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.
Husam sebelum ini lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama parti Islam itu dengan UMNO serta kepimpinan parti berhubung isu hudud.
Malah, Husam sebelum ini dilihat sepentas dalam program AMANAH pada majlis makan malam anjuran parti serpihan PAS itu di Kelantan dan Petaling Jaya, Januari lalu.
