Selain mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang ditemui semalam, mayat kedua dijumpai pada jam 8.34 pagi ini di tebing Sungai Batang Lupar, kira-kira 15km dari tempat mayat Noriah ditemui.
Mayat ketiga dijumpai sekitar tengah hari ini, lebih kurang satu kilometer dari tempat mayat Noriah ditemui, manakala mayat keempat dijumpai pada jam 3.20 petang, juga berhampiran tempat mayat Noriah ditemui.
Mayat kelima dijumpai kira-kira jam 6 petang tadi, lebih kurang 2.5km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Lingga, 250km dari Kuching.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan mayat kedua ialah Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman mengenal pasti mayat ketiga sebagai Konstabel Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Noriah.
Ketiga-tiga mayat itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak, manakala mayat terbaru dalam proses penghantaran ke hospital itu.
Mayat keempat dan kelima belum dikenal pasti.
Jenazah Allahyarhamah Noriah diterbangkan ke Kuala Lumpur malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burong, Selangor awal pagi tadi.
Noriah bersama suaminya, Asmuni Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Kangsar merangkap Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Sundaran dan Ahmad Sobri menaiki pesawat berkenaan yang dipandu Kapten Rudolf Rex Ragas.
Helikopter itu berlepas dari Betong ke Kuching pada jam 4.12 petang Khamis lalu dan tidak dapat dikesan 20 minit kemudian.
Noriah dan Sundaran ke Betong untuk menjalankan tugas berkaitan kementerian mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.
Hampir 200 anggota penyelamat dikerahkan mencari mangsa terakhir di kawasan seluas 875km persegi di Sungai Batang Lupar, dekat Lingga.
Operasi mencari dan menyelamat untuk mangsa terakhir akan disambung 7.30 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Othman Sulaiman berkata, operasi SAR hari ini dihentikan pada jam 10 malam tadi.
Gerakan mencari itu juga memberi tumpuan untuk mengesan badan pesawat berkenaan, setelah beberapa serpihan termasuk kerusi, peranti rotor dan bahagian pintu pesawat ditemui.
Biro Penyiasatan Nahas Udara akan mengeluarkan laporan awal tentang tragedi helikopter itu dalam tempoh sebulan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
– BERNAMA
