Jerebu, banjir dijangka mulai Jun hingga Oktober

Jerebu, banjir dijangka mulai Jun hingga Oktober

Hujan yang diramal berlaku pada tempoh sama mungkin menyebabkan banjir di beberapa negeri yang dijangka dapat membantu mengurangkan kesan pencemaran jerebu.

wan junaidi

PUTRAJAYA:
Malaysia dijangka berdepan masalah jerebu mulai bulan depan hingga Oktober berikutan cuaca panas dan kering di Sumatera serta Kalimantan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, impak jerebu itu bagaimanapun mungkin berada pada tahap sederhana berikutan fenomena La Nina diramal berlaku pada tempoh sama yang menyebabkan hujan di beberapa kawasan Semenanjung.

Katanya, ramalan itu dibuat berdasarkan kajian Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura.

“Mengikut kajian tersebut, keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan berlakunya kebakaran tanah gambut dan asapnya akan ditiup angin ke Malaysia yang menyebabkan jerebu.

“Namun, hujan yang diramal berlaku pada tempoh sama mungkin menyebabkan banjir di beberapa negeri terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dijangka dapat membantu mengurangkan kesan pencemaran jerebu,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Wan Junaidi berkata, perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan wilayah Sumatera untuk menangani masalah jerebu yang ditandatangani sebelum ini tidak akan dilaksanakan sebaliknya masalah jerebu rentas sempadan itu akan ditangani secara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Beliau berkata, pihaknya menerima baik penjelasan Indonesia untuk tidak meneruskan kerjasama itu kerana selain tidak efektif, ia sebenarnya hanya perjanjian dengan kerajaan tempatan Sumatera, sedangkan masalah jerebu memerlukan kerjasama kerajaan Indonesia.

Untuk itu katanya, satu mesyuarat teknikal bagi membincangkan instrumen yang bakal digunakan di bawah G2G akan diadakan di Indonesia pada 30 Mei ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, cadangan Malaysia mengenai pelaksanaan kajian penilaian impak jerebu yang melanda rantau ASEAN tahun lalu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-menteri Sub-serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Singapura, Rabu lepas.

Beliau berkata, Sekretariat ASEAN telah ditugaskan untuk mengumpul data-data berkaitan dari setiap negara bagi mengenal pasti impak jerebu ke atas ekonomi, kesihatan dan sosial.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada mesyuarat jemaah menteri hari ini di mana kementerian atau agensi berkaitan yang terjejas akibat jerebu diminta menyediakan data atau maklumat yang diperlukan untuk tindakan lanjut kementeriannya.

“Kita harap maklumat ini dapat dikumpulkan secepat mungkin bagi diserahkan kepada pihak sekretariat untuk dibentangkan bagi tindakan Indonesia mengenai apakah kesan jerebu daripada negara itu kepada Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.