Pengasas bersama kedai vape atas talian VapeClubMY, Jeremy Ong berkata mereka kini mengalihkan perniagaan mereka ke arah pasaran eksport.
“Ya, kita patut melihat pasaran di luar Malaysia sekiranya mahu berkembang sebagai salah satu negara di dunia yang mengungguli budaya vaping.
“Pasaran vape dalam negara tersangat lemah. Kami mula berniaga sejak sembilan bulan lalu dan kita sudah mengeksport 300,000 botol ke beberapa negara,” kata Jeremy.
Ketika ditanya langkah-langkah yang perlu diambil untuk merangsang permintaan tempatan, Jeremy berpendapat peniaga perlu menghentikan amalan menggunakan perempuan untuk “mendagangkan” produk.
“Amalan itu antara penyebab utama persepsi terhadap vape menjadi negatif, terutamanya dalam kalangan orang Islam,” jelas Jeremy.
Malay Mail semalam melaporkan bahawa jumlah pengguna vape di Malaysia berkurangan daripada 800,000 Oktober lalu kepada 200,000 bulan ini.
Pengasas dan penasihat Persatuan E-Vaporizer dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA), Allan Foo berpendapat penurunan itu kerana vaping trend sepintas lalu, serta sekatan Kementerian Kesihatan keatas bahaya yang dilihat pada vape.
“Minggu lepas sahaja tiada pembeli pertama kali, dan jualan cecair vape turun 90% sejak awal tahun ini,” katanya seperti yang dilaporkan.
Jeremy bagaimanapun menepis vape sekadar trend sepintas lalu.
“Vape bukan sekadar trend. Penghisap rokok memilih vape sebagai gaya hidup apabila mereka mahu mengamalkan kehidupan yang lebih sihat. Vape teknologi penyelamat nyawa yang lewat diperkenalkan,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman yang mengalu-alukan penurunan jumlah pengguna vape memandangkan orang awam melihat vape memudaratkan.
Jeremy memberi amaran: “Jumlah pengguna vape berkurangan kerana majoriti kembali merokok – yang terbukti memudaratkan.
“Saya ingin tahu: adakah pegawai-pegawai kesihatan awam sukacita dengan perkembangan itu?”
Sementara itu, pemilik Dragon Cloud Vape Shop, Kamarul Azwan mengakui vape mungkin sekadar trend tetapi penurunannya akibat kempen Kementerian Kesihatan yang berkesan.
“Mereka yang berhenti merokok dan menggunakan vape bingung samada kerajaan akan mengharamkan produk vape atau tidak.
“Malah tertera di laporan-laporan berita bahawa kempen kementerian melawan vape berjaya.
“Saya yakin dalang-dalangnya gembira pengguna-pengguna vape kembali merokok, yang pada pandangan saya lebih teruk.
“Bagi saya kempen itu bukan satu kejayaan. Bagi saya kebanyakan pengguna vape tidak menonjolkan diri ketika ini.”
Ketika ditanya samada industri vape akan terus merudum, Kamarul tidak bersetuju dan berkata kebanyakan pemain industri vape menumpukan perhatian ke pasaran antarabangsa.
“Ramai tidak tahu Malaysia merupakan salah satu daripada penghasil e-cecair dan pembina mesin terbesar di dunia. Bahkan, produk dan piawaian kita terkenal serata dunia.
“Sekiranya produk Malaysia (untuk vape) dijual di Eropah, ia akan terjual seperti pisang goreng panas. Kita punyai reputasi terbaik dalam perusahaan e-cecair kerana kita menggunakan ramuan bermutu tinggi.
“Di mata negara-negara lain kita umpama ‘guru’, tetapi kerajaan Malaysia tak nampak potensi kita.”
Industri vape tempatan yang merudum turut menyebabkan pengguna vape mengeluh, kerana daripada segi kesihatan vape harus dilihat sebagai langkah ke hadapan, bukannya langkah ke belakang.
Pengguna vape, Wesley Wong berkata ia merupakan alternatif terbaik kepada perkok.
“Saya setuju majoriti menggunakan vape sebab trend. Tetapi untuk orang seperti saya, vape alternatif kepada merokok.”
Seorang lagi pengguna bersetuju kementerian bertanggungjawab diatas penurunan jumlah pengguna vape.
“Apabila kerajaan menyerbu dan menyukarkan industri vape, saya diberitahu 50% kedai vape terpaksa tutup kerana kerugian.
“Vape membantu saya menangani tabiat merokok,” katanya yang mahu namanya dirahsiakan.
Seorang chef, Adam Oakley berkata, vaping bermula sebagai trend tetapi telah membantu perokok menemui penyelesaian yang lebih sihat. Beliau menambah industri vape tidak ada masa depan sekiranya ia tidak dikawal dengan betul.
“Semua orang boleh buka kedai, semua orang boleh bikin cecair vape. Itu yang membunuh industri. Dahulu semuanya ‘premium’ tetapi sekarang ini semua orang boleh melakukannya.
“Vape tidak ada masa depan sekiranya ia tidak dikawal dan dipantau,” katanya.
