Husam mahu ‘takluk’ Kelantan
Husam tidak menolak kemungkinan untuk kembali kepada PAS, memandangkan beliau masih ada 20 hari untuk mengemukakan rayuan.
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin PAS, Datuk Husam Musa membayangkan beliau mungkin mencari strategi untuk “menakluk” Kelantan.
Bekas Naib Presiden PAS itu berkata, beliau sedang menanti tempoh “idah” bersama parti Islam itu tamat sebelum mengkaji perkara berkaitan parti dan membuat persiapan untuk mengumumkan langkah beliau dalam tempoh “tiga atau empat bulan” lagi.
“Untuk kata saya bersendirian tidak betul. Ada ADUN (Kelantan) bersama saya. Tapi tak boleh beritahulah.
“Saya telah kenal pasti 25 DUN daripada PAS dan UMNO yang boleh dimenangi,” katanya beberapa kali dalam Dialog Bersama Husam yang berlangsung selama tiga jam semalam.
Kelantan mempunyai 45 DUN dengan 31 daripadanya dikuasai PAS, 12 DUN dimenangi BN, PKR sebuah kerusi dan DUN Salor yang disandang Husam.
Husam yang lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kerajaan PAS Kelantan, dipecat parti Islam itu berkuat kuasa 23 April lalu kerana didapati melanggar Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f) Perlembagaan PAS.
Ketika diasak dengan pelbagai soalan daripada hadirin mengenai masa depannya dan desakan menyertai AMANAH atau PKR untuk memimpin Pakatan Harapan di Kelantan, Husam bagaimanapun memilih untuk mendiamkan diri.
“Maaf kalau saya lambat (buat keputusan). Saya betul nak tahu bagaimana persiapan. Saya akan ambil masa dua bulan menziarahi kawan dan sukarelawan dan jentera yang saya boleh pilih. Saya tak ada sumber kewangan, bagaimana nak jalan?
“Kalau nak bertanding, di mana? Kalau saya jadi calon Bebas, ada peluang ke? Saya nak menang 25 kerusi di Kelantan untuk ubah negeri bukan hanya satu,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.
ADUN Salor itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk kembali kepada PAS, memandangkan beliau masih ada 20 hari untuk mengemukakan rayuan.
Katanya, beliau akan menulis surat kepada presiden parti untuk menyatakan pemecatannya tidak adil dan menjelaskan beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Husam yakin dengan surat itu Jawatankuasa Displin PAS akan menarik balik keputusan memecat keahliannya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Benda itu (surat kepada Hadi) dah siap tetapi nak sempurnakan kena tambah satu dua baris lagi. Rasa malas pulak sebab idah itu ada lagi. Nak buat macam mana tiada ‘mood’, kalau ada nanti saya hantar,” kata Husam.