Indonesia digesa timbang semula isu pembantu rumah

Indonesia digesa timbang semula isu pembantu rumah

Isu gaji minimum yang diminta Jakarta masih boleh dibincangkan memandangkan ia berada di luar daripada persetujuan awal yang dimeterai sebelum ini.

zahid-hamidi

GOMBAK:
Jakarta digesa mempertimbangkan semula keputusan untuk menghentikan penghantaran pembantu rumahnya ke negara ini.

Ini kerana kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerajaan Malaysia sentiasa memberi keutamaan terhadap kebajikan pembantu rumah warga Indonesia mengikut piawaian ditetapkan Jakarta.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia akan meneliti secara mendalam isu yang dibangkitkan Indonesia sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi Pekerja Asing itu berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkembangan itu serta menjemput Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Hanif Dhakiri ke Malaysia untuk mengadakan rundingan lanjut.

“Saya percaya masih banyak ruang untuk membincangkan perkara ini. Mungkin isu gaji minimum yang diminta masih boleh dibincangkan memandangkan ia berada di luar daripada persetujuan awal yang dilakukan sebelum ini.

“Tentunya banyak ruang yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia untuk memperincikan perkara itu (soal penetapan gaji),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Rapat Alumni Nusantara dan Pelancaran Jaringan Alumni Nusantara UIAM hari ini.

Semalam, Duta Besar Indonesia, Herman Prayitno dilaporkan sebagai berkata, Jakarta tidak akan menghantar rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di negara asing, termasuk Malaysia mulai tahun depan.

Bagaimanapun, pembantu rumah Indonesia yang sedang bekerja di negara asing ketika ini dibenarkan berbuat demikian, jika perkhidmatan mereka dilanjutkan majikan masing-masing.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM2 juta kepada Rapat Alumni Nusantara bagi pembangunan penyelidikan antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya, peruntukan tersebut akan dikendalikan UIAM bertujuan memperkukuhkan hubungan berlandaskan budaya, bahasa dan rumpun bangsa yang boleh diterjemahkan melalui gabungan alumni.

Malah katanya, peruntukan itu akan ditambah pada masa akan datang sekiranya kedudukan ekonomi negara pulih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.