Hubungan PAS dengan PKR masih baik – Hadi

Hubungan PAS dengan PKR masih baik – Hadi

PAS masih bertegas untuk meletakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

hadi-pas-pkr

KUALA LUMPUR:
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata hubungan parti Islam itu dengan sekutunya PKR masih lagi baik dan berjalan seperti biasa.

Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan PAS dan PKR selepas timbul isu perebutan kerusi pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar apabila parti Islam itu dan Pakatan Harapan mahu meletakkan calon.

Walaupun mengakui hubungan kedua-dua parti itu masih berjalan seperti biasa, PAS tetap dengan pendirian untuk meletakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Hubungan PAS dengan PKR masih berjalan seperti biasa, namun kita tetap akan bertanding (di Sungai Besar dan Kuala Kangsar), malah jawatankuasa pilihan raya PAS akan mengumumkan calonnya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan parti itu di Ibu Pejabat PAS malam tadi.

Mengulas mengenai ugutan Datuk Seri Azmin Ali untuk memecat tiga EXCO PAS, Hadi berkata parti itu akan menunggu tindakan daripada menteri besar Selangor berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Pasal Azmin tu kita tunggu dia buat atau tidak,” katanya.

Hubungan PAS dan PKR seakan renggang apabila media melaporkan Azmin memberi kata dua kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad dan EXCO PAS yang lain iaitu Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Azmin kemudiannya menafikan kenyataan tersebut, namun Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan apa yang disebut Azmin itu benar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.