PRK bukan kayu ukur sokongan terhadap kepimpinan negara

PRK bukan kayu ukur sokongan terhadap kepimpinan negara

Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya di Kuala Kangsar, manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar di Sungai Besar.

najib election

KUALA LUMPUR :
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak boleh sama sekali dilihat sebagai kayu ukur tahap sokongan kepada kepimpinan negara.

Ini kerana banyak isu hanya terdapat di kawasan PRK tersebut dan tiada di tempat lain, katanya lagi.

“Saya fikir PRK tidak boleh menjadi referendum terhadap kepimpinan negara, walaupun ramai yang menganggap demikian. PRK adalah PRK, ia juga banyak dipandu oleh sentimen tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Sementara itu beliau mahu BN mencontohi gerak kerja BN Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Beliau menggesa kempen yang lebih sederhana dan tenang, lebih-lebih lagi kerana ia akan berlangsung dalam bulan Ramadan.

“Kita berharap kemenangan (di Sarawak) akan dapat memberikan momentum dan nafas baru kepada UMNO dan BN di negeri-negeri lain, untuk menumpukan usaha bagi menjamin kemenangan BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, dan seterusnya PRU 14 nanti.”

“Kita juga mengambil kira faktor yang menyumbang kepada kemenangan di Sarawak. Semoga ia menjadi pengajaran dan panduan di negeri lain,” katanya lagi.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kangsar, manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di PRK Sungai Besar.

Kedua-duanya telah memberi taklimat kepada Majlis Tertinggi berhubung strategi dan persediaan mereka menghadapi PRK tersebut.

Umno akan mengumumkan calonnya di Sungai Besar pada malam ini, dan calon di Kuala Kangsar esok.

Peluang UMNO kali ini dilihat lebih cerah memandangkan pihak pembangkang masih belum mencapai persetujuan tentang siapa yang akan bertanding melawan BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.