DAP nafi anti Islam, dakwa usul Hadi bertentangan Peraturan Mesyuarat

DAP nafi anti Islam, dakwa usul Hadi bertentangan Peraturan Mesyuarat

Anthony Loke berkata PAS berpakat dengan UMNO untuk menentang partinya.

anthony

PETALING JAYA :
DAP menafikan tuduhan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu anti Islam berhubung pertikaian pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Parlimen, Khamis lalu.

Ketua Whip DAP Anthony Loke Siew Fook berkata parti itu kesal dengan “tuduhan liar” Hadi kerana mereka hanya mempertikaikan cara usul itu dibentangkan kerana DAP berpendapat ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Parlimen.

“Apa yang dipertikaikan ahli Parlimen DAP pada Khamis hanya mengenai prosedur Peraturan Mesyuarat dan objektif kerajaan membenarkan RUU Hadi dibentangkan.

“Kita mempersoalkan kenapa tiba-tiba kerajaan membenarkan usul itu dibentangkan tanpa sebarang notis seolah-olah untuk ‘perangkap’ ahli Parlimen yang tidak bersedia untuk membahaskan pindaan RUU itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkata reaksi marah DAP sejurus selepas RUU itu dibentangkan dengan jelas menunjukkan kebiadaban dan pendirian anti Islam.

Katanya, walaupun ada parti politik bukan Islam lain seperti MCA, Gerakan dan MIC, yang kadangkala tidak bersetuju dengan agenda parti Islam, mereka lebih sopan bila tidak bersetuju.

Anthony menafikan tuduhan menyatakan DAP memang konsisten tidak bersetuju dengan hudud kerana parti itu berpendapat ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak praktikal dalam masyarakat majmuk, tetapi mereka tidak pernah mengutuk undang-undang syariah atau cuba menentang orang Islam.

“Saya hendak mengingatkan Datuk Seri Hadi ketika era Pakatan Rakyat, ramai pemimpin DAP mempertahankan PAS daripada serangan parti komponen BN bukan Islam terutama MCA yang selalu mengutuk undang-undang syariah.

“Sehingga kini, MCA sering berkata DAP bertanggungjawab mengukuhkan PAS pada PRU13 hingga UMNO takut menghentikan PAS daripada melaksanakan hudud,” katanya.

Atas alasan itu, Anthony sekali lagi mempersoalkan sama ada UMNO kini berpakat dengan PAS untuk menjatuhkan DAP.

“Maka, kenyataan Hadi mempertahankan parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan, kemudian menuduh DAP sebagai musuh Islam, tidak adil langsung.

“Adakah ini syarat yang UMNO beri bagi membolehkan beliau membentangkan RUU itu di Parlimen dan membantu UMNO menentang DAP?,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.