Tiada lagi puak progresif, muktamar PAS berwajah baharu
Agenda utama Muktamar Tahunan PAS ke-62 yang bermula hari ini di Kelantan dijangka membincangkan persiapan PRU14, PRK dan hubungan dengan pembangkang.
PETALING JAYA: PAS berdepan pelbagai cabaran sejak pemilihan parti tahun lalu yang menyaksikan ‘pembersihan’ secara besar-besaran di mana kumpulan progresif yang menjadi penentang Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersingkir, selepas gagal dipilih perwakilan.
PAS kini berwajah baharu apabila ia diterajui golongan ulama, sehingga ada yang iri hati dengan melabel parti Islam itu terkebelakang, setaraf dengan parti pemerintah BN yang gagal membawa perubahan kepada negara.
Namun bagi pemimpin PAS, kritikan itu tidak sedikit pun menggugat perjalanan parti untuk terus mengorak langkah dengan membawa perubahan ditambah pula mereka sudah mempunyai blok ketiga pembangkang bersama IKATAN di samping terus menjalinkan kerjasama dengan PKR selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.
Malah kekuatan PAS juga bakal diterjemahkan menerusi Muktamar Tahunan ke-62 PAS yang bermula hari ini sekali gus membuktikan kepada rakyat bahawa parti Islam itu mampu berdiri sendiri walaupun tidak bersama gabungan pembangkang dalam Pakatan Harapan.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak muktamar kali ini mungkin muktamar terakhir sebelum PRU14.
Ini kerana terdapat andaian PRU14 akan diadakan sebelum Jun 2017. Jadi, muktamar kali ini mungkin menjadi platform menyuntik semangat ahli untuk bekerja keras pada PRU akan datang.
Ia juga akan dijadikan sebagai suntikan semangat kepada PAS untuk berdepan dua PRK iaitu Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan pada 18 Jun.
Nada sama turut disuarakan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata muktamar tahun ini yang bermula hari ini hingga 3 Jun itu akan memberi tumpuan kepada persiapan parti menghadapi PRU14.
Muktamar kali ini juga mungkin akan membincangkan isu tahaluf siyasi bersama PKR, malah isu berkaitan blok ketiga pembangkang yang dilancarkan PAS sebelum ini dilihat lebih menjadi agenda utama yang perlu diperhalusi setiap perwakilan dan pimpinan PAS, agar ia benar-benar menjadi satu mekanisme untuk berdepan dengan BN.
Tidak ketinggalan juga, isu Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibentangkan di Parlimen juga akan dibincangkan.
Muktamar kali ini dijangka hangat dengan isu pemecatan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa.
Muktamar tahun ini dijangka dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan pemerhati dan dijadualkan berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa membabitkan tiga sayap, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Para perwakilan yang hadir juga dijangka tidak akan menyerang pucuk pimpinan memandangkan PAS kini tidak mempunyai masalah kepimpinan seperti sebelum ini, walaupun ruang untuk ahli parti membuat kritikan terbuka luas.