PKR kesal persaingan satu lawan satu tak dapat dicapai

PKR kesal persaingan satu lawan satu tak dapat dicapai

Wan Azizah juga akui kewujudan usaha-usaha daripada musuh parti itu yang mengambil peluang sempena dua PRK itu untuk terus mengadu domba dan cuba memecah-belahkan kepimpinan PKR.

wan-azizah

PETALING JAYA :PKR kesal persaingan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak dapat dicapai.

Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana walaupun parti itu telah berusaha agar persaingan satu lawan satu dalam dua PRK, ia tetap tidak dapat dizahirkan.

Malah, beliau juga akui kewujudan usaha-usaha daripada musuh parti itu yang mengambil peluang sempena dua PRK itu untuk terus mengadu domba dan cuba memecah-belahkan kepimpinan PKR dalam pelbagai cara.

“Malah melempar fitnah terhadap pimpinan Kerajaan Negeri Selangor.

“Namun, saya dan pimpinan PKR termasuk di Selangor tidak akan terperangkap dengan usaha terdesak yang menggunakan media untuk mengalih pandangan rakyat dari masalah pimpinan UMNO-Barisan Nasional yang terpalit dengan skandal kewangan, tatakelola yang menyimpang dan dasar-dasar yang membebankan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, beliau dan kepimpinan parti itu meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan mengambil tindakan sewajarnya serta berharap sebarang keburukan tidak akan dilindungi.

“Musuh politik kita hanyalah UMNO-Barisan Nasional,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan PAS menamatkan rundingannya dengan PKR dan mengambil keputusan untuk meletakkan calon di dua kerusi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu muktamad dan tidak mahu lagi sebarang perundingan lain kecuali hal berkaitan kerjasama dalam gerak kerja pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.