Berdepan desakan pembangkang untuk tahu sama ada beliau memperoleh kelulusan Kabinet atas tindakannya, Azalina menyatakan perbezaan antara prosedur Parlimen dan hal ehwal kerajaan.
Bercakap kepada wartawan dalam lawatan ke Sungai Besar, Selangor, Azalina berkata beliau memperoleh kelulusan daripada Ketua Dewan dan Ketua Whip.
Ketua Dewan atau ketua majoriti ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sementara ketua whip bagi pihak kerajaan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli politik pembangkang mengkritik tindakannya mempercepatkan RUU Hadi ke senarai atas dalam perkara mesyuarat di Dewan Rakyat pada 26 Mei.
RUU itu meminta kelulusan Parlimen untuk enakmen negeri Kelantan memperkasakan Mahkamah Syariah bagi mengenakan hukuman jenayah mengikut undang-undang Islam.
RUU itu berada pada nombor ke-15 dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat pada hari berkenaan dan kemudian dinaikkan ke tempat pertama, mengambil duluan daripada urusan kerajaan.
Azalina berkata beliau dimaklumkan oleh speaker bahawa menteri yang bertanggungjawab hal ehwal agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharon, menulis untuk menyatakan kerajaan tidak ada bantahan jika RUU itu dibahaskan, menurut Malaysiakini.
“Dalam kerja saya sebagai menteri bertanggungjawab hal Parlimen, saya melaporkan kepada ketua majoriti, yang juga perdana menteri, dan saya lapor kepada ketua whip, iaitu timbalan PM.
“Jadi, arahan yang saya terima ialah menaikkan usul RUU Hadi dari nombor 15 kepada 1 sudah tentu daripada ketua majoriti dan ketua whip kerana ia adalah prosedur yang diperlukan untuk Parlimen,” katanya dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar di Sungai Besar.
“Speaker maklumkan kepada kami ada permohonan dibuat, di mana Jamil Khir memberitahu speaker tiada bantahan, jadi sudah tentu tugas saya secara automatik masuk. Tidak ada dipercepatkan.
“Tugas saya tidak ada kaitan dengan kandungan usul. Saya memantau peraturan, jadi saya hanya jaga prosedur,” katanya.
Azalina menjelaskan beliau yang memindahkan RUU itu untuk diberi keutamaan di bawah Peraturan Mesyuarat 14 yang memerlukan ahli Kabinet atau menteri untuk “bangun dan membacakan kebenaran untuk Speaker. Saya bertanggungjawab urusan teknikal, bukan kandungan usul itu”.
Keputusan untuk membenarkan RUU itu dibahaskan datang daripada Jamil Khir, katanya.
“Jadi ia tidak ada kena mengena dengan menteri bertanggungjawab dengan urusan Parlimen,” katanya.
RUU Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, meminta untuk meminda undang-undang persekutuan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) dipinda.
Walaupun RUU itu dibentangkan, Hadi memohon perbahasannya ditangguhkan hingga sidang Parlimen pada Oktober.
