Beliau tiba di perkarangan dewan itu kira-kira 15 minit selepas kehadiran rombongan calon AMANAH Azhar Abdul Shukur yang juga pengerusi AMANAH Sungai Besar.
Turut mengiringi Azhar ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR meluangkan masa lebih sejam di dewan itu dan bersalaman dengan rombongan dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang juga ADUN Meru yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor.
PKR kini ‘tersepit’ dengan perbalahan di antara PAS dan Pakatan Harapan yang dianggotainya dengan DAP dan Amanah.
“Di sini (Sungai Besar), Rani adalah sebahagian daripada kerajaan negeri malah beliau juga anggota penyokong kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pentadbiran negeri Selangor.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya (kepada Rani) dalam pilihan raya kecil ini dan kita harap kedua-dua parti (PAS dan AMANAH) lebih fokus menentang BN,” katanya ketika ditemui pemberita.
Azmin baru-baru ini membatalkan kehadirannya ke beberapa majlis di sekitar Selangor dan ‘menjauhi’ media ekoran tindakan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor.
Laporan itu dibuat berikutan pendedahan perbualan aplikasi WhatsApp Rafizi yang didakwa mendedahkan wujudnya permintaan ‘untuk mendapatkan wanita’ sebagai habuan dalam urusan dengan kerajaan negeri.
Azmin juga tidak menghadiri majlis pengumuman calon Pakatan Harapan bagi PRK Parlimen Sungai Besar pada Rabu lepas.
Wan Azizah ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata ketidakhadiran Azmin pada majlis berkenaan bagi membolehkan beliau lebih fokus kepada pentadbiran kerajaan negeri.
“Beliau tidak menghadiri semasa pengumuman calon, tetapi hari ini beliau hadir di sini… baguslah,” ulasnya ringkas.
PRK Parlimen Sungai Besar bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon BN Budiman Mohd Zohdi yang juga ADUN Sungai Panjang, Dr Abdul Rani dan Azhar.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
-BERNAMA
